Syed Ali bersyukur kerjaya lakonannya semakin menyerlah pada tahun 2013. PETALING JAYA: Pelakon Syed Ali mengakui menghabiskan masa sekurang-kurangnya lima hari seminggu di pusat kecergasan untuk bersenam bagi menguruskan badannya.Syed Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Tar Mohd, 27, berkata, dia kini berjaya menurunkan berat badannya kepada 69 kilogram berbanding 78 kilogram sebelum ini. "Sebelum ini saya memang sedang membina badan supaya tampak lebih sasa tetapi ramai mengatakan saya tidak sesuai dengan susuk tubuh itu tambahan pula kebanyakan drama yang saya terima memerlukan badan yang lebih kurus."Jadi kerana kerjaya saya kuruskan kembali badan saya dan Alhamdulillah berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 11 kilogram dan hanya perlu mengekalkan berat dan bentuk badan sedia ada," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi, Isnin.Dalam pada itu, Syed berkata, tahun 2013 memperlihatkan kerjaya lakonannya semakin berkembang dengan pelbagai tawaran berlakon diterimanya.Bagaimanapun kata Syed, dia terpaksa memilih watak yang diterimanya kerana bimbang tidak dapat melunaskan kesemuanya pada masa sama."Alhamdulillah tawaran semakin mencurah tahun ini sehingga terpaksa memilih kerana tidak mampu untuk menerima kesemuanya,"jelasnya.Dalam perkembangan lain, Syed berkata dia kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Buddies musim kedua selain baru selesai di set drama 16 episod berjudul Ikhlas untuk siaran bulan Ramadan nanti di TV1.