suria

Karyawan Harap Kerajaan Bangunkan Industri Muzik

Freddie Fernandez
Freddie Fernandez
Freddie Fernandez

PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berharap lebih banyak pembangunan dan penambahbaikkan daripada kerajaan menerusi kementerian berkaitan berhubung industri muzik tempatan yang semakin lama makin menghadapi masalah untuk bernafas.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, portfolio tiga kementerian iaitu Pelancongan dan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia dan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dapat memainkan peranan dan amat penting bagi pembangunan industri seni budaya tanahair.

"Dengan kerajaan baru dan menteri baru menerusi tiga kementerian tersebut diharap dapat membantu industri muzik yang semakin sukar bernafas.

"Tambahan pula tiga Kementerian ini mempunyai hubung kait yang amat penting dengan perjalanan seni budaya tanahair," katanya.

Freddie turut mengucakan tahniah kepada tiga menteri baharu yang menerajui tiga kementerian berkenaan iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Komunikasi dan Multimedia) dan Datuk Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan).

Dalam pada itu, Freddie berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan menyokong segala perkara yang baik bagi pembangunan industri seni tanahair yang dijalankan oleh ketiga-tiga kementerian tersebut pada masa hadapan.

Jelasnya, hubungan baik harus dijalinkan bagi meneruskan kerjasama yang telah terjalin sebelum ini.

"Karyawan yang mewakili kepentingan kira-kira 5000 orang penggiat seni akan sentiasa bekerjasama dan menyokong segala perkara yang baik bagi pembangunan industri seni tanahair", jelasnya.

Sementara itu, Freddie berkata, Karyawan bercadang untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas ketiga-tiga Menteri tersebut dalam tempoh terdekat untuk membincangkan pelbagai perkara serta merapatkan ukhwah di antara satu sama lain.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan