Zed sedia lepaskan jawatan sebagai presiden Seniman sekiranya ada pihak merasakan layak untuk menyandang jawatan itu. PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi sedia mempertimbangkan hasrat untuk melepaskan jawatannya jika ada pihak yang merasakan lebih layak untuk memikul tugas itu bagi membela nasib golongan artis di negara ini.Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, beliau juga tidak mempunyai masalah dan mengalu-alukan individu yang ingin bertanding merebut jawatan tersebut pada pemilihan jawatankuasa persatuan itu pada masa akan datang. "Jika ada yang merasakan diri mereka layak untuk membela nasib golongan artis saya tiada masalah mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan saya ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat.Beliau diminta mengulas tindakan lima artis veteran iaitu Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran, Mior Ahmad Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang yang berjaya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dekat sini pada Jumaat bagi menghalang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu pada Sabtu (hari ini).Hakim, Rosilah Yop membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat alasan untuk membenarkan injunksi berkenaan berdasarkan penyertaan tuntutan lima artis terbabit.Pada 22 Februari lalu, lima artis berkenaan memfailkan saman terhadap Seniman dan tujuh pihak lagi berhubung AGM persatuan itu sebelum ini yang didakwa tidak sah.Mengulas keputusan itu, Zed berkata, beliau menghormati arahan mahkamah tetapi menyifatkan tindakan lima ahli memohon perintah berkenaan sebagai merugikan persatuan dan ahli-ahlinya.Jelas Zed, beliau sebelum ini pernah meminta pihak berkenaan menjelaskan apakah punca sehingga terjadinya perbalahan melibatkan ahli berkenaan dan kepimpinan persatuan itu yang terdahulu namun gagal mendapatkan kerjasama."Saya sudah meminta mereka jelaskan apakah perkara yang menjadi pertikaian tetapi tidak mendapat jawapan langsung daripada mereka."Malah masih menjadi persoalan adakah tindakan yang diambil itu berdasarkan kepentingan persatuan atau hanya semata-mata untuk peribadi sendiri?," katanya.Tambah Zed, buku laporan aktiviti persatuan sepanjang tahun lalu sudah pun siap dan sedia untuk diedarkan kepada kesemua ahli.Tidak mahu tunduk dengan kemelut melanda persatuan itu, Zed berkata sebagai presiden beliau akan tetap menjalankan tugasnya seperti biasa bagi memastikan semua hak dan kebajikan ahli terbela.Seniman sebelum ini dipimpin oleh Harun Salim Bachik.Dalam pada itu mengulas pertemuan persatuan berkenaan dengan ahli-ahlinya di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada Sabtu (hari ini) Zed berkata, ia adalah satu perjumpaan tertutup.Ujar beliau, perintah mahkamah itu hanya tidak membenarkan AGM diadakan tetapi bukannya perkara lain termasuklah soal pertemuan sesama ahli."Ia hanya perjumpaan ahli bersama presiden dan saya tidak dapat berkongsi apakah perbincangan yang akan diadakan nanti," katanya.