Antara babak dalam teater Nyonya and The GangKUALA LUMPUR: Pengarah Teater Nyonya and The Gang, Rosminah Tahir mengakui akan mengubah beberapa dialog yang dianggap agak sensitif serta perlu ditapis mengikut kesesuaian masyarakat di negara ini.Katanya, terdapat beberapa dialog asal dan penambahan yang dibuat oleh pelakon tidak bersesuaian dengan penonton ramaja dan pelajar sekolah. "Naskah ini sahaja ada yang sudah diubah mengikut kesesuaian agar tidak terlalu kedengaran sensitif oleh masyarakat Melayu kita."Namun saya akan tapis lagi beberapa dialog dan perkataan, ada juga dialog pelakon yang mereka adlip sendiri yang mana tidak bersesuaian dan saya harap ia tidak berulang lagi pada pementasan seterusnya," katanya ketika ditemui selepas pementasan Nyonya and The Gang, di Panggung Sari, Istana Budaya.Tambah Rosminah, beberapa kelemahan akan diperbaiki terutamanya daripada segi fokus pelakon terhadap dialog dan mesej yang ingin disampaikan."Saya lihat kesukaran mereka untuk menyampaikan mesej sehingga menjadikan sesuatu babak terlalu panjang dan berulang-ulang."Mereka terlupa dialog dan mengulang-ulang semula beberapa subjek bagi menyampaikan keseluruhan mesej-mesej yang tertinggal," katanya.Pementasan teater Nyonya and The Gang merupakan pementasan keenam, malah naskah karya Wisran Hadi itu merupakan kali kedua dipentaskan di pentas berprestij, Istana Budaya.Biarpun agak sukar difahami kerana sarat membawa maksud tersirat dan tersurat namun teater yang melontarkan dialek slanga Indonesia ini diakui mempunyai peminatnya tersendiri.Kali ini teater Nyonya and The Gang dibawa ke Panggung Sari dengan pelakon-pelakon yang berbeza dan hebat berbanding pementasan sebelum ini.Antara pelakon tersebut terdiri daripada Fara Fauzana, Amy Mastura, Misha Omar, Taiyuddin Bakar, Mardiana Alwi dan Siti Rohkaida Abdul Khalil.Teater ini perlu dihayati dengan kosentrasi yang tinggi kerana bukan sahaja bahasa malah jalan cerita Nyonya itu sendiri agak komplikated untuk difahami.Kepayahan tersebut juga dapat dilihat apabila ada di kalangan pelakonnya yang tersasul dengan menyebut perkataan bahasa Melayu.Namun unsur komedi satira dalam dialog tersebut sedikit sebanyak mencetuskan keriuhan gelak tawa penonton.Pementasan Nyonya and The Gang berlangsung bermula Jumaat lalu hingga 20 Jun ini.Lebih istimewa, teater ini turut membuat penampilan khas penyanyi popular Anuar Zain pada 19 dan 20 Jun ini.Bagi yang berminat boleh mendapatkan tiket di www.AirAsiaRedTix.com