suria

Awi Rafael Enggan Komen Panjang Isu Putus Cinta

Hubungan cinta Awi dan Hanez kini tinggal kenangan.
Hubungan cinta Awi dan Hanez kini tinggal kenangan.
Hubungan cinta Awi dan Hanez kini tinggal kenangan.

PETALING JAYA: Penyanyi Awi Rafael mengambil pendirian untuk 'tutup mulut' dan enggan mengulas panjang berhubung isu putus cinta dengan pelakon Hanez Suraya.

Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 27, menerusi laman Twitter sebaliknya berkata, dia hanya akan bercerita tentang perpisahan itu menerusi lagu-lagu yang bakal diciptanya sahaja.

"Sebagai tanda hormat kepada Hanez, kerana dia adalah wanita, saya tiada komen untuk dikongsikan. Biarlah saya bercerita menerusi lagu-lagu saya," katanya.

Hanez menerusi Berita Harian Ahad berkata, dia dan penyanyi kelahiran Singapura itu sudah pun berpisah selepas sekian lama bermasalah.

Malah pelbagai usaha telah dilakukan namun hubungan mereka masih gagal diselamatkan.

Pasangan itu menjalinkan hubungan cinta lebih daripada setahun dan menyifatkan kegagalan hubungan itu bermula apabila Awi terlalu mengejar cita-cita untuk mengukuhkan kerjaya nyanyiannya sehinggakan Hanez terpaksa menarik diri daripada perhubungan itu.

Bagaimanapun, dalam status Twitter Awi, dia turut mendoakan bekas kekasihnya itu mendapat kebahagiaan dan rahmat bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Saya sentiasa doakan untuk Hanez. Semoga bulan Ramadan yang akan datang ini membawa ketenangan dan rahmat pada kamu sekeluarga. Amin dan Goodbye," ujarnya.

Dalam pada itu Awi turut menyatakan fokusnya kini hanya menjaga ibunya dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier seninya.

"Fokus saya sekarang adalah kepada ibu yang semakin tua dan kembara seni yang masih jauh.

"Doakan Awi InsyaAllah. Terima kasih kerana menyokong," tuturnya.

Artikel Lain