suria

40 Ahli Setuju Tindakan Mahkamah Terhadap Seniman

Abu Bakar Omar.
Abu Bakar Omar.
Abu Bakar Omar.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 40 ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bersetuju supaya tindakan mahkamah diteruskan berhubung Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu sebelum ini yang didakwa tidak sah.

Pelakon veteran, Abu Bakar Omar, 64, berkata, keputusan itu dibuat selepas Presiden Seniman iaitu Zed Zaidi enggan hadir pada pertemuan yang dianjurkannya bagi mencari penyelesaian kepada kemelut itu.

"Nampaknya tiada ruang perbincangan boleh dilakukan kerana tidak mendapat kerjasama daripada Zed bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam Seniman.

"Tujuan mengadakan pertemuan hari ini supaya dapat berbincang secara bersemuka supaya semua salah faham dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui di Panggung Mini P. Ramlee Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada Ahad.

Pada 31 Mei lalu, Abu Bakar bersama rakan artis iaitu Sahlan Sudiran, Mior Ahmad Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang berjaya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dekat sini bagi menghalang AGM ke-15 persatuan itu.

Hakim, Rosilah Yop membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat alasan untuk membenarkan injunksi berkenaan berdasarkan penyertaan tuntutan lima artis terbabit.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, dia sedih apabila terdapat cubaan daripada pihak tertentu untuk memboikot pertemuan itu dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ahli-ahli Seniman dan memberitahu bahawa perjumpaan itu dibatalkan.

Menurut Abu Bakar, dia tidak faham dengan tindakan segelintir pihak dipercayai dari kalangan ahli Seniman itu sendiri yang seolah-olah cuba menyembunyikan kebenaran.

"Perjumpaan ini bukan untuk menghasut atau meraih simpati daripada sesiapa pun cuma ingin menjelaskan apakah punca sebenar kami mengambil tindakan mahkamah bagi mendapatkan injuksi berhubung AGM Seniman.

"Kami tidak mahu semua ahli tertipu dengan cerita yang telah diputar belit oleh pihak satu lagi dan biar mereka semua faham fakta sebenar," katanya.

Antara ahli Seniman yang kelihatan hadir pada pertemuan itu adalah bekas Presiden Seniman, Datuk Mustafa Maarof, Datuk Aziz Satar, Datuk Yusof Haslam, Datin Sofia Jane, Datuk Ahmad Tarmimi Saregar, Vanidah Imran, Mat London dan Dira Abu Zahar.

Sementara itu, Abu Bakar turut menyangkal dakwaan pihaknya turut membuat tuntutan supaya aktiviti melibatkan Seniman dihentikan sehingga kes berkenaan selesai di mahkamah.

"Kami tidak pernah membuat sebarang permohonan sebegitu kerana ia akan merugikan semua ahli yang bernaung dan perkara seperti inilah yang ingin kami jelaskan dalam pertemuan ini supaya tidak ada salah faham.

"Malah Zed tetap bertindak sebagai presiden seperti biasa cuma kami berjaya mendapatkan perintah untuk tidak mengadakan AGM ke-15 daripada mahkamah," jelasnya.

Pada pertemuan selama tiga jam itu juga turut menyaksikan pelbagai soalan dan pendapat diutarakan oleh ahli yang hadir berhubung perkara itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain