suria

Ziela Jalil Akui Sukar Bergelar Ibu Tunggal

Ziela mengakui pernah sukar menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal selepas kematian suaminya pada tahun 2008. Foto ROHAIZAT DARUS.
Ziela mengakui pernah sukar menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal selepas kematian suaminya pada tahun 2008. Foto ROHAIZAT DARUS.
Ziela mengakui pernah sukar menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal selepas kematian suaminya pada tahun 2008. Foto ROHAIZAT DARUS.

KUALA LUMPUR: Penerbit drama dan pelakon Ziela Jalil mengakui sukar baginya menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal pada awal kematian suami, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub pada tahun 2008.

Ziela, 43, berkata, kesukaran itu lebih kepada membesarkan dua anaknya iaitu Puteri Julia Nabilah, 21, dan Megat Jufri Nasrullah, 19, yang ketika itu masih kecil dan tidak dapat menerima ketiadaan bapa mereka.

"Pada awal-awal dulu saya akui memang sukar menjalani kehidupan tanpa suami dan perlu membimbing anak-anak yang sentiasa rindukan bapa mereka tambahan pula mereka sedang meningkat remaja.

"Namun ketika itu saya sedar bahawa tiada orang yang dapat membantu dan saya perlu bangkit dan kuatkan semangat demi masa depan anak-anak," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kesihatan iaitu Fizzcola dan Berry Slim di Restoran Rebung di sini, Isnin.

Megat Junid ialah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna dalam kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain Julia dan Jufri, Ziela turut mempunyai seorang anak angkat iaitu Ibrahim Junit Abdullah yang kini berusia setahun enam bulan.

Sementara itu, Ziela berkata, dia bagaimanapun bersyukur berkat kesabaran dan pengorbanan untuk membesarkan anak-anak akhirnya membuahkan hasil apabila mereka semakin matang dan mampu berdikari.

"Apa yang penting pada saya adalah anak-anak kerana itulah peninggalan yang paling berharga buat diri saya. Saya bersyukur mereka sangat berdikari dan mempunyai pemikiran yang matang terutama anak sulung saya Julia yang akan berangkat ke Dublin untuk melanjutkan pelajarannya di sana.

"Bagaimanapun sebagai seorang ibu saya tetap risaukannya dan berharap mereka akan menjadi insan berguna dan berbakti kepada keluarga dan agama," katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai Fizzcola dan Berry Slim, Ziela berkata, produk berasaskan kolagen itu yang pertama menggunakan formula yang mengandungi sodium karbonat selain buah epal dan beri yang mudah diserap oleh sistem badan manusia.

Malah kata Ziela, selain untuk kecantikan kulit dan mampu mengurangkan berat badan ia juga dapat membantu mengurangkan rasa sakit kepada penghidap penyakit gastrik.

"Kami membuat kajian tentang penggunaan bahan selama beberapa bulan dan mencuba sendiri hasilnya sebelum mengambil keputusan untuk dipasarkan dan ia ditanggung halal.

"Malah rasanya juga berbeza daripada produk kesihatan lain kerana ia seperti air berkarbonat dan rasanya juga sedap seperti air buah-buahan," katanya.

Dikeluarkan sendiri oleh syarikat miliknya iaitu Ziela Jalil Trading (M) Sdn Bhd bersama seorang rakan kongsi, Fizzcola dan Berry Slim dijual pada harga RM128 sekotak yang mengandungi 18 paket dan boleh didapati di farmasi dan stokis kecantikan.

Dalam perkembangan lain, Ziela berkata, dia kini sedang sibuk menyiapkan sebuah drama adaptasi dari sebuah novel sebanyak 40 episod untuk siaran saluran Mustika HD (Astro 134) berjudul Jodoh Itu Milik Kita yang kini menjalani penggambaran di New Zealand.

Drama yang dibintangi oleh Farid Kamil, Tiz Zaqyah dan Zain Saidin itu akan menemui penonton selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Alhamdulillah rezeki pada tahun ini sangat murah dan selain Jodoh Itu Milik Kita, syarikat saya diberi kepercayaan untuk menerbitkan sebuah lagi drama untuk Astro iaitu Bukan Aku Tidak Cinta selain The Wedding Breaker untuk slot Akasia di TV3," katanya.

Malah dia juga baru selesai menjalani penggambaran sebuah drama iaitu I Heart Kurma untuk siaran TV9 dan akan muncul sebagai pengacara program bual bicara iaitu Tiga Rasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain