Wan (Shades) tidak merancang untuk menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat seperti mana pernah diluahkannya sebelum ini. PETALING JAYA: Bekas penyanyi kumpulan Shades iaitu Wan (Shades) membatalkan janjinya untuk bernikah dalam masa terdekat seperti mana pernah diluahkannya sebelum ini.Wan atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Mohd Ali, 40, berkata, walaupun menyedari usianya semakin lanjut dia bagaimanapun meletakkan soal jodoh kepada Allah apabila hubungannya dengan seorang artis wanita 90-an tidak menjadi. "Saya kini sedang 'bercinta' dengan kerjaya saya dan ingin membina semula nama sebagai penyanyi dan pelakon dan soal kahwin ini saya tidak fikirkan dan menyerahkannya kepada Allah."Rezeki dalam bidang nyanyian dan lakonan juga pada tahun ini semakin mencurah-curah sehingga saya tidak mempunyai masa untuk berfikir mengenai perkara lain," katanya ketika ditemui mStar Online.Sebelum ini Wan menerusi laporan mStar Online bertarikh 3 April lalu mengesahkan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang artis wanita 90-an dan mengakui sedang dilamun cinta.Mengulas mengenai perkara itu, Wan berkata hubungannya dengan artis tersebut hanyalah sekadar teman biasa selain rakan niaga dan tidak lebih dari itu.Dalam pada itu, Wan berkata, dia kini sibuk dengan beberapa penggambaran telefilem dan drama bersiri dan berterima kasih kepada pengarah Shuaimi Lua dan Zeel Production yang banyak memberi ruang kepadanya untuk bertapak semula sebagai pelakon.Jelas Wan, walaupun sebelum ini dia telah lama menyepi namun dia sentiasa rindu untuk kembali beraksi sebagai penyanyi dan pelakon."Sejak tahun lalu Zeel Production panggil saya untuk berlakon dalam drama Atas Nama Cinta dan selepas itu banyak peluang lain yang saya dapat."Alhamdulillah rezeki dalam lakonan semakin murah. Pun begitu, saya tidak melupakan bidang nyanyian dan kini sedang sibuk menyiapkan beberapa buah lagu baharu," katanya.Tambah Wan, selain sibuk dengan lakonan dia juga turut meluangkan masa untuk mengadakan program bersama belia dengan mengadakan kelas lakonan dan nyanyian kepada mereka.Dalam perkembangan lain, Wan dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama ketiga bersama Suhan Movies Production berjudul Iman Nabila arahan Shuaimi Lua.