PETALING JAYA: Penyanyi genre alternatif, Abot atau nama sebenar Norimah Muhammad memberitahu sedang menyambung pelajarannya dalam bidang penyiaran dan perfileman di sebuah universiti swasta.Abot, 38, berkata, dia mengambil langkah tersebut berikutan peluang untuk aktif dalam dunia nyanyian dengan mengekalkan konsep alternatif agak sukar diterima masyarakat. "Saya minat dalam seni tidak kiralah dalam bidang nyanyian, penulisan lagu, skrip, pementasan dan pengarahan. Oleh itu saya ambil keputusan untuk mencuba bidang perfileman dan penyiaran yang mana saya banyak belajar tentang seni di belakang tabir."Saya tidak berhenti menyanyi kerana nyanyian sesuatu yang sangat saya cintai namun aliran yang saya bawa dan suara saya sukar untuk diterima lagi. Bagaimanapun saya dalam proses untuk mengumpul material mencari lagu baru yang sesuai," katanya kepada mStar Online.Sementara itu, Abot berkata dia kini sedang dalam pembikinan sebuah drama dalam talian bagi projek akhir kursus tersebut."Alhamdulillah saya semakin mencintai bidang pengarahan ini, buat masa sekarang sedang buat projek akhir dalam pembikinan sebuah drama ‘online’ berjudul Budak Jahat."Pada mulanya agak sukar juga kerana bersaing dengan pelajar yang kebanyakannya lebih muda namun keinginan untuk belajar membuatkan saya terus bersemangat," katanya.Jelasnya, keinginan untuk belajar sudah lama dipendam namun dia tidak berkesempatan kerana menguruskan hal rumah tangga."Saya memang dah lama ingin belajar kerja-kerja belakang tabir namun banyak sangat hal yang menghalang, sekarang baru ada peluang itu."Insya-Allah kalau boleh saya nak serius dalam bidang ini," katanya.Sementara itu, bercerita tentang Hari Raya, Abot berkata sambutan kali ini dilakukannya secara sederhana seperti raya-raya sebelum ini."Hari Raya seperti sebelum-sebelum ini juga, sebagai ibu bapa apa yang penting adalah kelengkapan untuk anak-anak diutamakan."Mereka paling gembira merasai Hari Raya, selain itu kami juga akan berkumpul bersama-sama keluarga dan bermaaf-maafan, " katanya.