Zul mahu memperbaiki dirinya sebelum melangkah ke alam perkahwinan. PETALING JAYA: Pelakon Zul Ariffin mahu memperbaiki dan memantapkan ilmu agama terlebih dahulu sebelum melamar kekasihnya, penerbit filem Tayangan Unggul iaitu Gayatri Su-Lin Pillai.Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 27, berkata, dia merasakan perkara itu lebih penting kerana selepas berkahwin kelak dia perlu membimbing bakal isterinya itu mendalami ilmu agama Islam. "Saya yang ingin memantapkan terlebih dahulu pengetahuan saya kerana jika ada jodoh di antara kami tanggungjawab saya untuk mendidiknya mendalami ilmu agama Islam."Bagaimana saya ingin mendidiknya sedangkan ilmu saya juga tidak mencukupi?," katanya kepada mStar Online.Dalam perkembangan sama, Zul berkata, Gayathri sangat terbuka soal agama dan pengetahuan asasnya mengenai Islam sangat baik.Bagaimanapun kekasihnya itu masih belum membuat keputusan untuk memeluk Islam buat masa ini dan membiarkan wanita itu menukar agamanya dengan kerelaan hati dan bukannya paksaan."Pengetahuan asasnya tentang Islam bagus dan Gayatri sendiri sudah seperti orang Melayu kerana pergaulannya meliputi pelbagai bangsa malah kadang-kadang saya rasa dia lebih 'Melayu' daripa saya," ujarnya.Sementara itu, Zul tidak menafikan ada berbincang tentang soal perkahwinan dengan kekasihnya itu namun ia adalah perbualan biasa dan tidak merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya dalam masa terdekat."Sudah tentu kami mahu membawa hubungan itu ke tahap lebih serius tambahan pula keluarga kedua-dua belah pihak juga merestui.“Bagaimanapun buat masa ini kami belum ada apa-apa perancangan. Insya-Allah, doakan kami," jelasnya.