Fida mahu menyertai program Akademi Fantasia kerana ingin mempelajari selok-belok dunia muzik. PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Rafidah Ibrahim atau Fida tetap dengan pendiriannya untuk menyertai program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF) walaupun mendapat kritikan ramai.Fida, 27, berkata, keputusannya itu bukan sekadar suka-suka sebaliknya menganggap ia sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran bagi membolehkannya mendalami ilmu muzik dan nyanian. "Walaupun saya sudah mempunyai karier nyanyian tetapi ilmu dalam bidang tersebut masih belum cukup dan penyertaan dalam AF 2013 adalah sebagai proses pembelajaran."Kata-kata negatif daripada sesetengah pihak tentang keputusan itu tidak pernah melemahkan semangat saya," katanya kepada mStar Online.Nama Fida antara yang diumumkan dalam senarai pendek program realiti itu yang bakal bermula pada September depan.Dalam perkembangan sama, Fida berkata, pandangan skeptikal yang diterimanya juga diambil sebagai menguatkan lagi semangatnya melakukan yang terbaik sekiranya diterima sebagai peserta akhir AF 2013.Jelasnya, dia tidak perlu berasa malu untuk menyertai program itu walaupun sudah mempunyai nama dalam bidang seni dan yakin peluang tersebut akan memberi kebaikan kepada kerjayanya."Saya tidak fikir apa-apa selain ingin melakukan yang terbaik untuk kerjaya saya. Apa juga komen orang saya anggap itu sebagai pemangkin semangat sekiranya terpilih nanti," katanya.