Almy Nadia PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia mengakui tidak menjadi masalah kepadanya untuk dikenali sebagai pelawak wanita berikutan penyertaannya dalam rancangan Super Spontan terbitan Astro.Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, dia kini banyak menerima tawaran watak komedi dan program berbentuk sitkom. "Saya tidak kisah kalau selepas ini orang mula gelar saya sebagai pelawak kerana di Malaysia ini kita kurang pelawak perempuan. Yang ada sekarang kita boleh kira dengan jari sahaja."Jika rezeki sudah ke arah itu saya terima sahaja, lagi pula sekarang sudah terlalu ramai pelakon-pelakon baru yang keluar," katanya kepada mStar Online.Bagaimanapun, Almy berkata, dia tidak pernah menganggap dirinya benar-benar mampu menghiburkan penonton dengan aksi komedi."Saya sendiri tidak tahu yang saya ini kelakar ataupun tidak kerana saya rasa sifat saya hanyalah biasa sahaja. Tapi selepas program, Edisi Khas banyak maklum balas yang positif saya terima."Apa yang peting saya hanya jadi diri sendiri dan mencuba nasib. Kalau kita beraksi berlebih-lebihan pula, ia akan nampak menjengkelkan," katanya.Dalam pada itu, Almy berkata, ibunya, Roshida Hashim, 45, banyak memberi sokongan dan menjadi pengkritik terhadap lakonannya selama ini."Ibu adalah pengkritik utama saya. Biasanya selepas penonton rancangan komedi saya, dia akan telefon dan beri pandangan."Sebab itu bila penggambaran saya asik teringat pesanan dia. Dia juga selalu minta saya baca buku dan belajar tentang bahan-bahan jenaka daripada buku dan Internet," katanya.Sementara itu, Almy yang turut menyertai program musim kedua Super Spontan mengakui agak gentar untuk berhadapan dengan pelawak-pelawak terkenal tanah air."Saya fikir banyak kali untuk sertai program ini. Kalau rancangan sitkom saya tidak kisah tetapi dalam rancangan ini saya perlu beraksi spontan."Berhadapan pula dengan semua pelawak yang handal dan terkenal, tapi saya sudah nekad untuk redah sahaja," ujarnya.Antara selebriti lain yang akan menyertai ialah Norkhiriah, Along (Raja Lawak), Johan (Raja Lawak), Yus (Jambu), Nabil Ahmad, Munir, Jep (Sepah), Shuib (Sepah), Tauke (Jambu), Rahim dan Suhaimi.Program Super Spontan musim kedua akan bersiaran bermula 30 Ogos ini, pukul 10 malam di saluran 132, Astro Warna.