suria

Hairi (Anak Wayang) Nikah Bakal Guru Tahun Depan

Hairie bersama tunangnya, Fara Afiza. Foto: Adam Fadly Photography
Hairie bersama tunangnya, Fara Afiza. Foto: Adam Fadly Photography
Hairie bersama tunangnya, Fara Afiza. Foto: Adam Fadly Photography

PETALING JAYA: Pelakon Hairi (Anak Wayang) bakal melangsungkan perkahwinan dengan bakal guru pada awal tahun hadapan selepas kedua-dua pihak mengikat tali pertunangan pada Sabtu lalu.

Hairi atau nama sebenarnya Mohd Hairi Safwan Aznan, 25, yang juga juara Anak Wayang terbitan RTM musim pertama itu telah bertunang dengan Fara Afiza Azman, 23, iaitu anak kepada Editor Majalah Kuntum, terbitan Star Publications (M) Berhad, Asma Saad.

"Majlis berlangsung secara sederhana di rumah keluarga perempuan di Bagan Lalang dan kedua-dua keluarga merancang untuk majlis pernikahan diadakan selepas Fara tamat belajar mungkin pada awal tahun depan.

"Namun buat masa ini belum ada tarikh yang ditetapkan lagi," katanya kepada mStar Online.

Tambah Hairi, tunangnya masih belajar di Institusi Pendidikan Guru, Kampus Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah dalam tahun terakhir.

"Sekarang kami bercinta jarak jauh kerana dia masih lagi belajar di Kedah.

"Saya pula sibuk dengan kerja, jika ada kelapangan dan dia pulang ke Kuala Lumpur barulah ada kesempatan untuk kami keluar," katanya.

Sementara itu, Hairi mengakui terpikat dengan sifat sabar wanita tersebut dalam segala hal.

"Dia seorang yang lemah lembut dan sentiasa sejukkan saya apabila saya marah. Dia ambil pendekatan seperti saya seorang pelajar sekolah.

"Dia banyak mengajar saya agar lebih bersabar dan tidak terlalu mengikutkan kata hati," ujarnya.

Artikel Lain