suria

'KL Gangster 2' Disabotaj, Yusof Haslam Jumpa Media Esok

Yusof Haslam anggap KL Gangster 2 disabotaj pihak tertentu.
Yusof Haslam anggap KL Gangster 2 disabotaj pihak tertentu.
Yusof Haslam anggap KL Gangster 2 disabotaj pihak tertentu.

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam menyifatkan penyebaran filem terbaharu terbitan Skop Production iaitu KL Gangster 2 di Internet sebagai satu sabotaj oleh pihak tertentu.

Yusof, 59, berkata, dia kecewa dengan berita penyebaran filem arahan Syamsul Yusof itu sehingga ia boleh dimuat naik sebelum tarikh tayangan kerana perbuatan tersebut telah melanggar undang-undang.

"Tindakan tersebut adalah satu sabotaj oleh pihak-pihak tertentu dan kita akan siasat mengenai perkara ini dan sudah tentu saya kecewa kerana filem itu masih belum ditayangkan di pawagam," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Yusof berkata, pihaknya akan mengadakan satu sidang media khas pada Jumaat (esok) di Pawagam Mini P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dekat sini, pukul 3 petang untuk menjelaskan hal itu.

Sejak petang Rabu lalu, kecoh apabila filem yang ditunggu-tunggu oleh peminat itu dikatakan telah tersebar di Internet dan boleh dimuat naik secara percuma.

Dalam perkembangan sama, Syamsul menerusi laman Facebook miliknya memberi amaran keras terhadap individu yang memuat naik filem itu tanpa kebenaran.

Kata Syamsul lagi, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras untuk mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Kami akan mengambil tindakan habis-habisan untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab," katanya menerusi status tersebut.

Filem dengan kos RM4.5 juta itu bakal ditayangkan di pawagam pada 3 Oktober ini menampilkan pelakon seperti Aaron Aziz, Adi Putra dan Rosyam Nor.

Artikel Berikut

Artikel Lain