Datuk Md Afendi Hamdan PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) meminta pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri supaya tidak melatah berhubung kos penerbitan promo hari kemerdekaan terbitan agensi itu yang mencecah RM450 ribu.Pengerusinya Datuk Md Afendi Hamdan berkata, tindakan Ahmad Idham yang mempersoalkan kos promo Tanah Tumpahnya Darahku itu seperti seseorang yang baharu menyertai bidang perfileman. "Apa salahnya kalau kita mahu belanja lebih untuk promosi bersempena dengan hari kemerdekaan negara kita sendiri? Kalau laburkan RM1 juta sekalipun apa salahnya?"Dia (Idham) hanya tahu nak salahkan orang sahaja terutama Finas. Bagi saya orang seperti itu tidak harus dilayan."Cara dia cakap seolah-olah dia tidak tahu kos sebegitu untuk sebuah iklan mampu menghasilkan kualiti visual yang bagus," katanya kepada mStar Online.Pada Rabu lalu, Ahmad Idham mempersoalkan langkah Finas yang telah melaburkan sebanyak RM450 ribu hanya untuk menghasilkan treler Tanah Tumpahnya Darahku sempena hari kemerdekaan untuk ditayangkan di pawagam yang panjangnya hanya 2 minit 40 saat.Ahmad Idham dalam status pada akaun Twitternya meminta badan itu memberi penjelasan berhubung kos berkenaan yang dianggapnya tinggi untuk sebuah iklan pendek.Tambah Md Afendi lagi, Ahmad Idham juga tidak sepatutnya melatah memandangkan projek tersebut diberikan kepada rakannya sendiri iaitu Afdlin Shauki di bawah syarikat Vision Networks."Sepatutnya dia berbangga kerana kawannya mendapat projek besar seperti in dan bukannya mengkritik. Lagipun projek ini dibuat untuk negara dan ianya ditayangkan di seluruh pawagam."Sudah semestinya orang dari negara luar juga akan menyaksikan treler tersebut. Saya pelik dengan sesetengah pihak ini. Bila kita buat sesuatu benda yang elok, (dia) mengata, buat buruk apatah lagi," keluhnya dalam nada kesal. Dalam pada itu Md Afendi berkata, treler pendek itu turut ditayangkan menerusi laman YouTube dengan tempoh masa yang lebih lama iaitu selama empat minit."Pihak kami bukannya nak keluarkan kos secara sembarangan. Mahalnya sesebuah produk itu adalah berdasarkan kualiti teknikal dan grafik yang digunakan. Ia juga membabitkan penggunaan helikopter dan kamera jenis epik."Tambah pula tempoh masa penggambaran dibuat dalam jangka masa yang sangat singkat. Treler iklan ini bukannya seperti kita hasilkan filem biasa. Ia merupakan treler yang berkualiti tinggi," tegasnya.Iklan Tanah Tumpahnya Darahku sudah pun disiarkan serentak di pawagam seluruh negara sebelum tayangan filem bermula Rabu lalu disusuli promo berjudul Pesanan Terakhir dan diikuti nyanyian lagu Negaraku.Kempen itu bermula dari 28 Ogos lalu sehingga 3 September depan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 yang akan disambut pada Sabtu ini.