suria

Fazlina, Adik Ogy Elak Publisiti Kerana Nama Keluarga

Fazlina selesa tidak terlalu terdedah kepada publisiti kerana ingin menjaga nama baik keluarganya.
Fazlina selesa tidak terlalu terdedah kepada publisiti kerana ingin menjaga nama baik keluarganya.
Fazlina selesa tidak terlalu terdedah kepada publisiti kerana ingin menjaga nama baik keluarganya.

PETALING JAYA: Pelakon Fazlina Ahmad Daud mengakui selesa tidak terlalu terdedah kepada publisiti kerana ingin menjaga nama baik keluarganya yang cukup dipandang tinggi.

Fazlina, 38, berkata, ia disebabkan ibu dan bapanya iaitu Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah serta kakaknya, Ogy terlebih dahulu dikenali dalam bidang seni selain dihormati oleh banyak pihak.

"Saya sangat memandang tinggi kepada keluarga terutama arwah bapa dan ibu serta Kak Ogy (Fauziah) yang sangat dihormati oleh ramai orang.

"Atas sebab itu saya selesa tidak diberi terlalu banyak publisiti dan cuba mengelak daripada terlibat dalam sebarang kontroversi," katanya kepada mStar Online.

Tambah Fazlina lagi, dia kembali aktif sebagai pelakon bukan untuk mengecap populariti sebaliknya cabang seni itu dilakukan kerana kepuasan selain ingin meneruskan legasi keluarganya.

"Saya sangat selesa dengan keadaan sekarang kerana saya percaya jika kita lakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh orang akan menghargai kerja kita dan populariti itu akan datang dengan sendiri.

"Pun begitu saya tidak nafikan publisiti itu penting untuk kerjaya seseorang artis namun biarlah ia mengenai perkara yang bukan menghancurkan," jelasnya.

Dalam pada itu, Fazlina berkata, dia kembali aktif berlakon sejak tahun 2010 selepas mendapat sokongan suaminya, Nahar Ludhfi Johari dan empat anaknya selain ingin mengisi masa terluang.

"Rindu nak kembali berlakon tetapi komitmen terhadap keluarga adalah keutamaan saya dan sekarang anak-anak pun sudah besar jadi banyak masa terluang.

"Tambahan pula suami dan anak-anak izinkan saya kembali aktif dan merekalah sokongan terbesar saya sekarang," jelasnya.

Hasil perkongsian hidup pasangan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Fatihah, 19, Mohd Hamzah, 18 dan pasangan kembar Mohd Nazmi dan Mohd Fahad, 15.

Sementara itu, Fazlina berkata, Ogy adalah inspirasi terbesarnya dalam dunia lakonan dan mengakui kakaknya itu banyak memberi tunjuk ajar dalam membentuknya sebagai seorang pelakon yang baik.

Bagaimanapun kata Fazlina, dia masih belum mempunyai keberanian untuk bergandingan dengan Ogy dalam drama yang sama kerana merasakan tidak layak untuk berlakon di samping seorang pelakon hebat itu.

"Saya mula berlakon sejak berusia 15 tahun dan latar belakang keluarga langsung tidak memberikan jalan mudah untuk mendapat peluang besar dalam dunia lakonan.

"Saya pernah menjadi pembantu produksi dan pelakon pembantu sebelum diberi peluang untuk memainkan peranan lebih besar dan Kak Ogy benar-benar mengajar saya untuk menjadi seorang aktres yang baik," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fazlina berkata, dia kini sibuk memenuhi undangan lakonan dan tidak menyangka kemunculan semulanya dalam bidang lakonan diterima baik.

Malah kata Fazlina, banyak tawaran terpaksa ditolak kerana tidak mampu untuk memenuhi permintaan produksi terhadapnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain