suria

Freddie Fernandez Selar Gafim Perkecilkan Finas

Datuk Freddie Fernandez
Datuk Freddie Fernandez
Datuk Freddie Fernandez

PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) membidas Persatuan Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang menuduh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sudah tidak lagi relevan.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Gafim tidak boleh diguna pakai kerana persatuan tersebut tidak mewakili industri perfileman secara keseluruhan.

"Bagi saya Gafim bukan satu-satunya badan yang mewakili industri perfileman kerana ada banyak lagi badan NGO (badan bukan kerajaan) lain yang tidak menyertai Gafim seperti Persatuan Pengeluar Filem (PFM), persatuan penerbit Cina dan India, Persatuan Animasi dan Dokumentari termasuk juga Karyawan.

"Dakwaan mereka bahawa Finas kurang mesra juga adalah tidak benar kerana kami sentiasa mengadakan perjumpaan dengan pihak Finas untuk menjalankan kerjasama yang rapat dan menjaga kepentingan ahli Karyawan," katanya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.

Freddie berkata demikian bagi membalas kenyataan Gafim dalam yang mendakwa Finas bersikap sambil lewa dalam menangani masalah ndustri perfileman tempatan.

Tambah Freddie, dakwaan kurang mesra yang dilemparkan oleh Gafim terhadap Finas juga tidak berasas kerana entiti tersebut banyak membantu persatuan dalam Gafim untuk pergi ke luar negara bagi menyertai festival antarabangsa.

Sementara itu, Freddie berkata, masalah cetak rompak yang dihadapi oleh pengarah filem Yusof Haslam terhadap filemKL Gangster 2 adalah di luar bidang kuasa Finas.

"Dalam kes KL Gangster 2 dicetak rompak, ia sebenarnya tidak berada di bawah bidang kuasa Finas tetapi dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Karyawan mencadangkan bahawa satu pasukan khas ditubuhkan dengan segera untuk menangani masalah cetak rompak ini," katanya.

Bagaimanapun, Karyawan menyokong agar Finas mengadakan satu pertemuan dengan keseluruhan warga industri filem untuk berdialog dan membincangkan masa depan industri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain