Wawa ZainalPETALING JAYA: Kontroversi isu status perkahwinan pasangan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang pernah menuduh Metrowealth International Group (MIG) menjadi salah satu punca utamanya hubungan itu dirahsiakan tidak pernah melunturkan semangat Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Teo, untuk menaikkan nama Wawa kembali.David berkata, dia langsung tidak menyimpan dendam terhadap artis naungannya itu kerana yakin Wawa, 22, masih kurang matang dalam isu-isu pengurusan kerjaya terutamanya. "Saya alu-alukan kedatangan Wawa apabila dia sudah bersedia untuk kembali aktif di bidang lakonan. Ini kerana kami masih sayangkan dia sebagai anak didik, seperti artis-artis naungan lain."Dalam perkara sebegini, saya dalam MIG sering menjadi bapa kepada artis-artis saya dan biasalah kalau ada 'anak' yang memberontak. Pihak MIG langsung tidak berdendam dengannya, malah mahu menaikkan namanya semula selepas kontroversi yang pernah berlaku," katanya.Terdahulu, Aeril dilaporkan sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Wawa Zainal atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, secara senyap dan hasil perkahwinan itu, mereka mendapat anak yang lahir pada 24 Ogos lalu dan diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.Perkahwinan itu pada mulanya dirahsiakan gara-gara Wawa takut dimarahi David kerana berasa sudah melanggar kontrak yang dianggap artis naungan MIG tidak boleh bercinta atau berkahwin jika status hubungan mereka diketahui.Dan kerana itu mereka bercadang akan memberitahu perkara status mereka sebagai suami isteri pada tahun 2015, selepas kontrak aktres itu tamat.Sementara itu, David berkata, selepas kontroversi tersebut, Wawa telah menghubunginya pada pagi Jumaat lalu meminta maaf atas kesilapan yang dilakukannya."Wawa telah menghubungi saya dan sebagai seorang 'ayah' saya sudah memaafkan dia. Cuma sekarang ini pihak MIG menantikan kehadirannya ke pejabat."Sebelum ini 'kehilangan' Wawa selama hampir setahun telah banyak meninggalkan kesan terhadap kerjayanya apabila banyak tawaran lakonan termasuklah projek sebagai duta beberapa produk terpaksa ditolak begitu sahaja."Tidak kisahlah imej macam mana sekalipun dia bakal tampilkan (bertudung atau tidak), pihak MIG akan kembali menaikkan namanya semula. Kerana saya percaya Wawa boleh berjaya pada masa depan nanti," tegas David.