Datuk Rahim RazaliPETALING JAYA: Pelakon Datuk Rahim Razali, 71, perlu menjalani pembedahan segera bagi membuang pendarahan dalam otaknya agar penyakit yang dikenali sebagai subdural hemorrhage tidak bertambah serius.Anak kepada seniman itu, Nadia Rahim, 41, berkata, ketika ini keadaan tekanan darah ayahnya tidak beberapa stabil membuatkan pihak hospital menetapkan tempoh dua atau tiga hari lagi bagi tujuan berkenaan. “Keadaan tekanan darah ayah tidak beberapa stabil tetapi pada hari ini (Isnin), keadaannya sudah menunjukkan tanda-tanda positif. Doktor tidak boleh membuat pembedahan segera kerana usia ayah yang agak lanjut. Sebab itulah doktor memberi masa pada hari Rabu atau Khamis ini untuk pembedahan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.Rahim dimasukkan ke Pusat Perubatan Sunway di sini pada Ahad selepas mengalami sakit kepala ketika menjalani penggambaran rancangan sukan terbitan Astro Arena di Kuantan, Pahang sehingga terpaksa di bawa pulang ke Kuala Lumpur.Selepas dihantar ke pusat perubatan itu oleh keluarga, pihak hospital perlu menahan Rahim apabila ujian sinar X mendapati terdapat kesan darah pada otaknya yang perlu dibedah segera.Dalam pada itu Nadia berkata, pendarahan itu terjadi kerana Rahim tidak cukup rehat apabila terpaksa menjalani penggambaran sehingga di luar Kuala Lumpur.“Ayah tidak cukup rehat tetapi sejak seminggu lalu dia sudah mengadu sakit kepala. Hendak mendapatkan rawatan pun tidak sempat sehinggalah kejadian bertambah teruk ketika dia berada di Kuantan. Saya berharap semua peminat dapat mendoakan kesejahteraan ayah saya,” katanya.Rahim kini masih lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan itu..