Anuar ZainPETALING JAYA: Penyanyi Anuar Zain tidak mempersoalkan lagu popularnya Lelaki Ini yang dinyanyikan semula oleh artis Indonesia, Cakra Khan menggunakan lirik berjudul Tak Bisa Pilih.Anuar berkata, ia disebabkan lagu ciptaan komposer Indonesia, Numata itu yang diikat kontrak dengan syarikatnya iaitu Anuar Zain Network sudah pun tamat pada lima tahun lalu. "Eksklusif lagu tersebut dengan syarikat saya telah lama tamat tempohnya lebih kurang lima tahun lalu."Jadi terpulanglah pada komposer itu (Numata) untuk berbuat apa sahaja ke atas lagu ciptaannya," katanya kepada mStar Online menerusi e-mel yang dikirimkan si sini pada Rabu.Tambah Anuar, dia juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan perubahan lirik lagu tersebut kerana ia adalah hak komposer terbabit sama ada ingin membuat pembaharuan pada lagu tersebut ataupun tidak.Sebaliknya kata Anuar dia berasa bangga kerana lagu itu dimaksimumkan penggunaannya dan sebagai penyanyi asal, Anuar berbesar hati apabila karya berkenaan dinyanyikan oleh bintang berbakat seperti Cakra Khan."Saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dgn penggiat seni Indonesia yang amat profesional dan setakat ini tidak ada apa-apa masalah pun dengan Numata untuk dia mengubahsuaikan lagu berkenaan kerana itu adalah haknya."Bagaimanapun saya masih belum pernah mendengar lagu itu dalam lirik baharu dan akan mendengarnya. Tahniah saya ucapkan kepada Numata yang juga sahabat saya terhadap ilham yang datang untuk membuat pembaharuan pada lagu itu," ujar Anuar.