suria

BELASUNGKAWA: Azean Irdawaty, Korban Nyawa & Dunia Seni

Allahyarham Azean Irdawaty ketika hayatnya sentiasa bersikap positif.
Allahyarham Azean Irdawaty ketika hayatnya sentiasa bersikap positif.
Allahyarham Azean Irdawaty ketika hayatnya sentiasa bersikap positif.

PETALING JAYA: Pada malam Selasa lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan kehilangan primadona filem Melayu, Azean Irdawaty.

Saya percaya, Azean bukanlah asing kepada generasi hari ini kerana keaktifannya dalam dunia seni tidak yang pernah bernoktah.

Beliau aktif menabur baktinya sebagai anak seni sehinggalah pada hembusan nafas terakhir.

Kematiannya benar-benar membuatkan seluruh merasai kesedihannya. Kali terakhir saya bercakap dengan Allahyarham kira-kira sebulan lalu ketika beliau menghubungi saya untuk menyampaikan ucapan takziah atas kematian Datuk Bukhari Che Muda, Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah.

Allahyarham Bukhari meninggal dunia pada 10 November lalu.

Kata Azean yang saya panggil Kak Yan, dia terkejut mendengar berita kematian sahabatnya itu.

Tetapi sayang, kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan, beliau tidak dapat untuk menziarahi Allahyarham.

“Sampaikan salam takziah saya kepada keluarga Allahyarham. Cakap kepada isterinya, Kak Yan kirim salam. Minta dia tabah. Sampaikan ya pesan Kak Yan ini,” pintanya.

Nada suaranya ketika itu tersekat-sekat. Berbeza benar suara Azean Irdawaty ini, kata hati saya. Jika bukan namanya terpapar pada skrin telefon, ‘mati hidup semula’ pun saya tidak kenal empunya suara itu.

Bagi memenuhi permintaannya, pesanan itu saya sampaikan melalui pihak pengurusan TV Al-Hijrah.

Sebelum kami menamatkan perbualan, saya sempat bertanya khabarnya.

“Kak Yan sakit. Kak Yan tak bermaya. Kak Yan keluar-masuk hospital sekarang ni. Kak Yan uzur sangat. Sakit sangat,” katanya, seperti benar-benar kelihatan lemah.

Mendengar suara dan kata-katanya itu, saya tidak berhasrat untuk bercakap panjang lalu menasihatinya agar banyak berehat.

Sehinggalah beberapa hari lalu, saya menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pegawai di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memberitahu, Azean berada dalam keadaan kritikal.

Tetapi sayang, kesibukan masa membatasi hasrat saya untuk melawatnya. Saya benar-benar rasa bersalah.

Namun saya percaya, doa daripada sekalian umat Islam adalah satu hadiah paling berguna buat Allahyarham.

Azean Irdawaty bukan sahaja hebat sebagai anak seni kerana lakonannya yang berjaya menyentuh emosi dan juga mampu membuatkan orang benci.

Tetapi wanita ini juga hebat untuk berhadapan dengan kematian akibat penyakit kanser payudara yang dihidapinya sejak sekian lama.

Ketika disahkan menghidap penyakit itu pada tahap tiga tahun 2007, doktor hanya memberi masa dua tahun untuk beliau meneruskan hidup.

Alasan doktor, Azean atau nama sebenarnya Azean Irdawaty Yusoff, 63, perlu bersedia untuk berhadapan dengan maut kerana dia tidak mungkin mampu melawan penyakitnya yang sudah berada pada tahap kritikal.

Tetapi Azean mempunyai semangat yang kuat bagi melawan penyakit berkenaan sehinggalah ia melepasi tempoh dua tahun yang diberikan doktor.

“Apabila kita terkena penyakit barah, kenapa kita perlu teringatkan mati? Kita perlu bersikap positif dan sentiasa gembira kerana mati itu boleh berlaku bila-bila masa. Salah satu cara untuk melawan barah ialah dengan banyak ketawa,” kata Azean dalam satu temu bual tidak lama dulu.

Atas prinsip yang dipegang itulah Azean berjaya melepasi tempoh yang diberikan doktor sehinggalah dia meninggal dunia pada Selasa lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit akibat kanser.

Walaupun pembedahan membuang kanser payudara itu berjaya dilakukan, Azean yang terpaksa bergantung pada rawatan kemoterapi turut menghadapi masalah lain apabila rambutnya mula gugur.

Kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan hospital akibat kanser payu dara menyebabkan penyakit itu melarat apabila dia disahkan pula menghidap penyakit hati, paru-paru, tulang belakang dan Limfedema.

Bermula dari situlah Azean sering keluar-masuk hospital untuk mendapatkan rawatan yang kesemuanya mencecah ratusan ribu ringgit.

Duit simpanannya sudah habis untuk membiayai kos rawatan yang semakin meningkat selain dia juga perlu membayar sewa rumah yang mencecah kira-kira RM2,000 sebulan.

Atas desakan hidup itu Azean terpaksa membuang perasaan malu untuk meminta wang daripada orang ramai termasuklah persatuan-persatuan seni.

“Maaf, duit simpanan Kak Yan sudah habis. Kak Yan perlu bantuan kawan-kawan untuk menghulurkan bantuan bagi mendapatkan rawatan,” itu antara mesej yang pernah dihantar Azean bagi menggambarkan kesusahan hidupnya.

Tetapi Azean berjaya membuktikan sikap cekal yang ada dalam diri bagi melawan penyakit mampu membolehkan dia menyambung hidup walaupun pada mulanya hanya diberi masa dua tahun.

Dia juga tidak lokek untuk berkongsi masalah agar wanita yang terkena penyakit kanser payudara agar terus kuat. Beliau menjadi pembakar semangat kepada wanita-wanita di luar sana yang merasakan hidup mereka sudah tidak lagi punyai apa-apa.

Namun, di hujung-hujung usianya, Azean tewas juga dengan semangat itu. Penyakitnya bertambah parah yang tidak lagi mampu untuk pulih sepenuhnya sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi suami dan anak-anak.

Azean yang terkenal sejak era 1970-an telah membintangi lebih 20 buah filem termasuk diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Pertama (FFM-1) pada tahun 1980 menerusi filem Esok Masih Ada dan Langit Petang pada FFM-3 (1982).

Beliau juga turut memenangi anugerah pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada FFM-13 (1997) menerusi filem Amelia dan anugerah serupa pada FFM-20 (2008) menerusi Waris Jari Hantu.

Filem terakhir lakonannya ialah Talentine arahan Yasmin Ahmad sebagai pelakon pembantu.

Dalam drama televisyen, beliau dipilih sebagai pelakon terbaik Anugerah Skrin (TV3) pada tahun 1995 melalui drama Kembali dan anugerah yang sama pada tahun 1998 untuk drama Najiha.

Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini kira-kira pukul 8.26 malam Selasa lalu dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara, dekat sini pada Rabu.

Beliau meninggalkan suami Khairil Anuar Zainal Mukhtar Rashidi, 68, dan tiga orang anak iaitu Khaeryll Benjamin, 36, Elza Irdalynna, 26, dan Inessa Irdayanty, 23.

Komitmen Azean Dalam Seni Wajar Dijadikan Contoh

Sementara itu dalam satu temu bual dengan wartawan mStar Online, KEMALIA OTHMAN, beberapa artis, menyifatkan sikap Allahyarham perlu dicontohi oleh generasi baharu kerana semangat dan komitmennya dalam memperjuangkan seni sehingga ke akhir hayat.

Ini kerana Allahyarham merupakan pelakon yang mementingkan kualiti dan sentiasa mahu mempertingkatkan mutu lakonannya agar menjadi lebih baik.

Bagi Datuk Rosyam Nor, Allahyarham adalah primadona filem dan drama Melayu kerana penglibatannya dalam industri bermula daripada usianya yang muda sehinggalah ke hujung hayatnya.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 46, berkata, terlalu banyak kenangan manis dia bersama Allahyarham ketika mula-mula menceburi industri seni.

"Kenangan saya dengan Arwah terlalu banyak, dia seperti kakak yang sentiasa menegur perbuatan dan kerja saya.

"Dia anak seni yang tidak pernah kenal erti putus asa dan sentiasa memberi semangat kepada pelakon baru," katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara, di sini, Rabu.

Pengarah dan pelakon Ellie Suriati Omar pula berkata, peribadi Allahyarham dalam menyatukan ikatan kekeluargaan antara anak seni perlu dicontohi pelapis baharu.

Katanya, biarpun berada dalam keadaan tidak sihat, namun Allahyarham sentiasa bertanya khabar dan berkongsi cerita.

"Jika kita ada semangat kekeluargaan seperti dia pasti industri seni akan menjadi lebih kukuh," katanya.

Ellie turut berkata, Allahyarham, pernah memberinya tiga bungkusan baju dan beberapa pasang kasut untuk dipakai ketika menjalani penggambaran.

Dalam pada itu, pelakon Ako Mustapha memberitahu, Allahyarham boleh dianggap sebagai ibu angkatnya yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada dia terutama sekali ketika di lokasi penggambaran.

Jelas Ako, 41, keakraban mereka terjadi berikutan sering kali digandingkan bagi watak ibu dan anak dalam mana-mana drama yang dibintangi mereka.

"Saya hormat dia sebagai seorang ibu kerana kami memang sering digandingkan menjadi ibu dan anak, dia tidak pernah sombong atau kedekut ilmu.

"Ketika saya baharu mula-mula berlakon dia banyak beri tunjuk ajar dan menerima saya sebagai pelakon baharu dengan baik ketika itu," katanya.

Tambahnya, biarpun sedang bertarung dengan penyakit, namun Allahyarham tidak pernah memperlihatkan dia seorang yang lemah dan menunjukkan sikap yang baik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain