suria

Stacy Pelajari Tentang Agama Islam Daripada Akim Ahmad

Stacy mengakui banyak belajar mengenai agama Islam daripada Akim. Foto RICKY LAI.
Stacy mengakui banyak belajar mengenai agama Islam daripada Akim. Foto RICKY LAI.
Stacy mengakui banyak belajar mengenai agama Islam daripada Akim. Foto RICKY LAI.

PETALING JAYA: Penyanyi Stacy mengakui semakin memahami ajaran agama Islam selepas banyak mendapat bimbingan daripada kekasihnya, Akim Ahmad.

Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 23, berkata, Akim banyak menjelaskan tentang agama itu setiap kali mereka berjumpa dan dia juga banyak bertanya tentang perkara yang tidak difahaminya.

"Akim banyak memberitahu saya tentang ajaran Islam dan banyak yang saya pelajari daripadanya," katanya katanya selepas pelancaran single berjudul Hello duet bersama kumpulan SM*SH yang diadakan di Auditorium Bently Music di sini, Jumaat.

Turut hadir Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Darren Choy.

Stacy yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah bagaimanapun berkata, jika suatu hari nanti hatinya terbuka untuk memeluk agama Islam dia mahu keputusannya itu didorong kerana kehendaknya sendiri dan bukan semata-mata kerana ingin berkahwin dengan pemuda itu.

Jelas Stacy, soal agama bukan sesuatu yang boleh dipersendakan dan dia sangat menghormati perkara itu.

"Soal agama bukan perkara main-main dan saya sangat menghormati agama lain termasuk Islam dan sebab itu jika saya ingin menjadi seorang Muslim bukan hanya kerana cinta atau mahu berkahwin dengan seseorang sebaliknya ia perlu datang dari hati yang ikhlas," katanya.

Dalam pada itu, Stacy berkata, pergaulannya dengan rakan-rakan beragama Islam turut mendedahkannya dengan pelbagai perkara yang tidak diketahui sebelum ini.

"Dulu semasa di kampung pergaulan saya terhad dan komuniti di sana kebanyakannya penganut Kristian dan apabila berpindah ke Kuala Lumpur saya lebih banyak didedahkan dengan masyarakat Islam.

“Dari situlah hati saya terbuka untuk mengetahui mengenai agama ini dengan lebih mendalam,” jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai kolaborasinya dengan kumpulan SM*SH dari Indonesia Stacy berkata, ia adalah peluang cukup besar untuk dia memperkenalkan namanya di negara itu.

Jelas Stacy, pengaruh kumpulan itu sangat kuat selain mempunyai pengikut yang cukup ramai di Indonesia dan Malaysia.

"Bayangkan pengikut Facebook saya sudah mencecah satu juta sejak lagu kami dilancarkan dan pengikut baharu itu rata-rata dari Indonesia.

"Saya melihat ia satu perkembangan baik untuk kerjaya saya dan bertuah dapat melakukan kolaborasi dengan mereka," katanya.

Pada majlis tersebut, Stacy dan SM*SH turut menyampaikan beberapa buah lagu termasuklah lagu duet mereka iaitu Hello di hadapan 100 peminat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain