Noh SallehPETALING JAYA: Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, terkilan apabila terpaksa menundakan ibadah umrah yang telah dirancang pada 20 Januari ini kerana perlu beraksi pada pertandingan Anugerah Juara Lagu 28 (AJL28) yang akan berlangsung pada 26 Januari depan di Stadium Putra, Bukit Jalil.Noh, 29, berkata, dia sudah merancang dan membuat persiapan untuk menunaikan ibadah tersebut lebih awal sebelum tarikh AJL28 diumumkan. "Saya dan keluarga sudah merancang untuk menunaikan umrah pada 20 Januari ini dan semua persiapan sudah pun dibuat, ketika itu tarikh AJL28 belum diumumkan lagi."Pada awalnya saya mahu tarik diri sahaja atau tempat saya digantikan orang lain tetapi isteri dan keluarga memahami dan berjaya membuat pertukaran tarikh kepada sehari selepas AJL28 berlangsung," ujarnya.Tambah Noh, umrah kali keempat ini lebih bermakna buat dirinya dan isteri iaitu Mizz Nina apabila ia turut disertai oleh keluarga kedua-dua belah pihak.Jelasnya, keterujaan untuk menunaikan ibadah ini juga membuatkannya kurang merasakan kehangatan AJL28."Saya tidak terlalu teruja untuk menghadapi pertandingan ini kerana ia adalah hiburan sahaja, sebaliknya saya lebih teruja dengan persiapan untuk tanah suci nanti," katanya.Sementara itu, Noh yang bakal bergandingan dengan Aizat untuk lagu In Love With You turut berkata, persiapan untuk bersaing di pentas AJL28 kali ini dibuat secara sederhana.Jelasnya, dia tidak mahu merasa sebarang tekanan seperti yang pernah dihadapinya sebelum ini."Kami tidak mahu terlalu tertekan seperti tahun-tahun sebelum ini yang mana tiga hari sebelum pertandingan sudah rasa gementar."Kali ini kami hanya mahu berseronok dan berikan yang terbaik pada malam tersebut", katanya.