suria

Aznil Komen Isu Dikritik Jadi Juri Pencetus Ummah

Aznil Nawawi
Aznil Nawawi

KUALA LUMPUR: Pengacara Datuk Aznil Nawawi terkejut apabila segelintir pihak mengkritik dia tidak sesuai menjadi juri jemputan pada malam akhir program Mimbar Pencetus Ummah yang berlangsung pada Jumaat lalu.

Aznil menjelaskan, kehadirannya sebagai juri di samping Datuk Hassan Mahmud, Ustaz Kazim Elias, dan Habsah Omar (Abby Fana) pada program tersebut adalah untuk menggunakan pengetahuannya mengkritik teknik pengucapan awam peserta tanpa melibatkan langsung pengisian tazkirah yang disampaikan peserta.

"Orang ramai perlu faham, setiap juri sudah mempunyai tugasan masing-masing di mana saya dikehendaki mengkritik cara penggunaan pentas selain skil berkomunikasi di hadapan penonton studio dan di rumah.

"Jadi, apabila ada pihak mempertikaikan kewibawaan ini, saya terkejut. Sedangkan tugas saya di situ sebagai membantu peserta untuk menjadi pendakwah baru, itu saja," katanya.

Aznil ditemui pada majlis pelancaran program Lagi Riuh...Macam-Macam Aznil di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Aznil berkata, sebelum menerima jemputan sebagai juri, dia sudah pun bersedia untuk menerima kritikan ramai dan perkara itu langsung tidak membuatkannya serik untuk mengajar pendakwah-pendakwah baharu berkaitan skil-skil berkomunikasi yang baik.

"Sebagai seorang Islam, kita perlu berkongsi ilmu antara satu sama lain. Begitu juga dengan saya yang ingin melihat pelbagai pendakwah baru yang berdakwah mengikut cara yang lebih sesuai dalam menarik masyarakat ke jalan Islam sebenar.

"Jadi, takkan saya nak berdiam diri tidak berkongsi ilmu mengenai apa yang saya tahu kepada orang yang belajar mahu berdakwah?

"Lagipun, saya hanya berkata benar dalam mengkritik. Langsung tidak sentuh pun pengisiannya," ujar Aznil.

Sementara itu, Aznil bakal muncul kembali dengan program Lagi Riuh... Macam-Macam Aznil musim baharu selepas hampir 10 tahun ia tidak bersiaran.

Program tersebut masih mengekalkan konsep bual bicara namun segmennya diubahsuai dengan memperkenalkan sebanyak lima segmen baharu.

Segmen-segmen tersebut ialah Pembukaan, Baling Belakang, Macam Comel Je, Cuba Try Test dan Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang.

"Apabila pihak Astro membuka cadangan untuk kembalikan program Macam-Macam Aznil, saya gembira, tetapi pada masa sama risau sekiranya ia tidak relevan lagi.

"Selepas membuat perbincangan, saya kata kepada mereka, kalau boleh saya mahu program ini pencabar kepada program-program lain dengan pengisian yang baru. Dan selepas memikirkan pelbagai idea, maka muncullah Lagi Riuh...Macam-Macam Aznil," tuturnya.

Program tersebut akan disiarkan setiap Khamis pukul 9 malam bermula pada 16 Januari ini di Astro Ria.

Artikel Lain