Syazwan memberitahu gosipnya dengan pelakon Indonesia, Tyas Mirasih tidak mampu membantu melariskan filem lakonan mereka, Laga. PETALING JAYA: Pelakon Syazwan Zulkifly berpendapat gosip yang mengaitkannya dengan pelakon Indonesia, Tyas Mirasih langsung tidak membantu mempromosikan filem lakonan mereka, Laga yang bakal ditayangkan pada 23 Januari ini.Syazwan, 25, berkata, filem berkenaan tidak memerlukan gosip murahan seperti itu untuk menarik minat penonton ke pawagam kerana jalan cerita dan pelakon yang ditampilkan sudah cukup hebat. "Cerita gosip mengenai saya dan Tyas langsung tidak membantu kerana Laga sendiri sebuah filem yang sudah cukup kuat dari segi jalan cerita dan pelakon terlibat seperti Eman Manan, Wan Hanafi Su dan Nasir Bilal Khan."Tambahan pula gosip yang ditimbulkan sama sekali tidak betul dan rasanya peminat juga tahu kedudukan sebenar," katanya kepada mStar Online.Laga yang menelan kos RM2.8 juta akan ditayangkan di pawagam mulai 23 Januari ini.Syazwan dikaitkan dengan pelakon tersebut sewaktu sama-sama menjalani penggambaran filem berkenaan sehingga dia dituduh menjadi penyebab Tyas berpisah dengan kekasihnya, aktor Keith Foo.Dalam perkembangan sama, Syazwan berkata, dia tidak mengambil kisah mengenai gosip berkenaan kerana hubungan dia dan Tyas hanyalah sekadar kawan biasa dan mereka pernah bekerjasama dengan Keith dalam sebuah projek."Saya pernah bertemu Keith di set penggambaran dan hubungan kami baik-baik sahaja kerana dia sendiri tahu saya bukan penyebab kepada perpisahan mereka."Tambahan pula saya tidak sehebat Keith dan jika saya berada di tempat Tyaz, saya akan pilih Keith. Buat apa nak pilih saya," katanya.Sementara itu, bercakap mengenai filem Laga, Syazwan berkata, pada mulanya dia berhasrat untuk menolak tawaran daripada produksi itu kerana merasakan tidak layak untuk berlakon di samping nama besar seperti Eman Manan dan Wan Hanafi Su.Kata Syazwan, dia bagaimanapun mengubah keputusannya selepas memikirkan ia adalah peluang terbaik untuknya mencedok ilmu lakonan daripada nama-nama besar tersebut."Saya pendatang baru yang tiada nama dalam bidang ini dan peluang berlakon bersama nama-nama besar membuatkan saya berasa kecil dan tidak layak berada dalam kalangan mereka."Tetapi itu adalah peluang keemasan yang tidak datang setiap hari dan jujurnya saya mendapat pelbagai input sepanjang bersama mereka di set penggambaran," katanya.Tambah Syazwan, cabaran yang paling sukar sepanjang berlakon filem berkenaan apabila dia perlu melakonkan adegan bersilat bersama Eman Manan.Bagaimanapun dia bertuah apabila pelakon berkaliber itu banyak memberikan tunjuk ajar dan teknik sebenar dalam melakukan gerakan betul dalam bersilat."Beliau memang pakar dalam bersilat dan saya pula tiada asas tetapi dia (Eman Manan) seorang yang tidak lokek ilmu dan kami banyak berlatih bersama-sama," katanya.