Menusuk kalbu...Persembahan A. Rahman menerusi lagu Melayu Asli Sri Banang cukup menyentuh perasaan. Foto IZZRAFIQ ALIAS.KUALA LUMPUR: Irama tradisional yang digabungkan dengan muzik Pop Yeh Yeh berjaya ditonjolkan dengan baik pada Konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Bersama Bintang yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada Khamis.Pengarah muzik, Mohd Yazid Zakaria berjaya membuktikan bahawa irama popular 60-an itu mampu memberikan hasil yang mempesonakan tanpa mengubah identiti asal lagu-lagu pada zaman tersebut yang rancak. Menerusi alatan muzik seperti rebana ubi, gamelan, sitar dan akordion menghasilkan bunyi yang harmoni sekali gus menjadi tarikan utama pada persembahan lima artis Pop Yeh Yeh pada malam itu.Dengan menampilkan kira-kira 32 buah lagu, ternyata konsert ini mampu mengubat kerinduan peminat lagu-lagu 60-an untuk mengimbau kembali saat itu.Ia dimulakan dengan persembahan A. Halim yang menampilkan tiga buah lagu iaitu Salam Mesra, Doa Dan Harapan dan Teman Baru.Kelincahan penyanyi berusia 73 tahun itu di atas pentas cukup mencuit hati penonton selain kelunakan suaranya yang masih lunak sama seperti pada zaman kemuncak popularitinya dahulu.Kemunculan Datuk L. Ramli dengan lagu Ayahku Kahwin Lagi seperti dijangka mendapat tepukan gemuruh daripada peminat dan turut bersama-sama menyanyikan lagu tersebut.Tidak terhenti di situ, L. Ramli turut menyampaikan dua lagi lagu hit iaitu Dara Pujaan dan Siapa Bilang Aku Tak Sayang.Begitu juga dengan Datuk A. Rahman Hassan, walaupun mengalami sakit tekak pada malam itu namun persembahannya sedikit pun tidak menghampakan peminat.Sejajar dengan pengalaman hampir 40 tahun bergelar anak seni, interaksi A. Rahman dengan penonton cukup mengagumkan dengan jenaka spontan daripadanya.Seperti biasa, A. Rahman tampil mendendangkan lagu kegemaran peminat iaitu Semoga Berjaya, Hanya Untuk Mu dan Tak Mengapa.Panggung Sari bertambah gamat apabila penyanyi Datuk Jefrydin muncul di atas pentas dengan lagu pertamanya Termenung diikuti Seruling Anak Gembala dan Kenangan Ku mendapat reaksi luar biasa penonton.Tidak lengkap tanpa kehadiran penyanyi wanita, Maria Bachok yang sudah 18 tahun tidak mengadakan persembahan pentas muncul buat pertama kali di Istana Budaya dengan lagu popularnya Kasih Dihati Sayang Dimata.Maria turut tampil berduet dengan penyanyi muda berbakat besar, A. Rozaimi menerusi lagu Cahaya Bulan Di Air Tenang.Sementara itu, pada segmen kedua, kesemua penyanyi lelaki masing-masing tampil mendendangkan sebuah lagu Melayu Asli dan ternyata kebolehan mereka bukan sekadar mendendangkan karya-karya rancak.Persembahan A. Rahman menerusi lagu Sri Banang cukup mengusik jiwa dengan penghayatan yang cukup baik walaupun mengalami masalah sakit tekak.Antara lagu Melayu Asli lain yang disampaikan adalah Mas Merah, Gambus Jodoh dan Damak.Pelakon Ebby Yus bertindak sebagai pengacara pada malam itu dengan telatah lucunya ketika di pentas.Jefrydin ketika ditemui selepas persembahan berpuas hati dengan persembahan malam pertama itu dan berharap peminat akan datang beramai-ramai untuk menyaksikan konsert itu yang berlangsung dari 24 Januari hingga 26 Januari 2014.Tiket Konsert OTM Bersama Bintang dijual pada harga serendah RM30 hingga RM250.Untuk keterangan lanjut mengenai konsert berkenaan dan tempahan tiket boleh menghubungi 03 8775 4666 / 03 4026 5520 atau layari www.redtix.airasia.com.