suria

Enam Juta Tonton Anugerah Juara Lagu ke 28

Hafiz memenangi AJL-28
Hafiz memenangi AJL-28

PETALING JAYA: Pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu Ke-28 (AJL28) yang disiarkan TV3, malam Ahad lalu ditonton kira-kira 6 juta penonton mengikut ukuran dibuat Nielsen Audience Measurement.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan stesen televisyen itu pada Selasa, jumlah tersebut menunjukkan penanda aras terbesar bagi sebuah acara siaran langsung kategori hiburan yang diterbitkan stesen berkenaan.

"Ia meliputi jumlah tontonan menerusi Internet di laman web rasmi TV3 yang turut menyajikan acara karpet ungu, galeri, video dan Di Sebalik Tabir.

"Keunggulan AJL28 sebagai acara pembuka tirai tahunan bagi stesen televisyen ini tidak perlu disangkal lagi kerana kemunculannya sentiasa ditunggu-tunggu para peminat muzik tempatan," menurut kenyataan itu.

AJL28 turut mencatat jumlah tontonan memberangsangkan menerusi live streaming yang mencecah hampir 327,598 penonton dengan Malaysia adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 141,824 diikuti Singapura (14,448), United Kingdom (4,103), Brunei (3,254) dan Amerika Syarikat (2,194).

Sementara itu, lebih 20,000 streaming menerusi portal muzik baharu, 'Tonton Music' direkodkan pada malam AJL28 sahaja.

Pada masa sama, laman sosial Twitter mencatatkan 251,000 Tweets yang turut dikongsi menggunakan kata kunci #AJL28 manakala sebanyak 12,929 gambar pada pertandingan itu dikongsi di Instagram.

AJL28, Ahad lalu menjadi tuah buat penyanyi Hafiz apabila lagu nyanyiannya, Bahagiamu Deritaku, hasil ciptaan LY dan lirik oleh Baiduri dipilih sebagai Juara Lagu ke-28.

Dengan kemenangan itu, mereka berjaya berkongsi hadiah berupa trofi dan wang tunai sebanyak RM35,000.

Naib juara AJL28 menjadi milik lagu Hanya Aku ciptaan Hyper Act dan Frozen dan dinyanyikan oleh Hyper Act manakala lagu ciptaan Omar K, Audi Mok dan Altimet nyanyian Awi Rafael dan Altimet menduduki tempat ketiga.

AJL28 diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil dekat sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain