Ifa dan suaminya dijangka berangkat ke Mekah pada bulan Mac depan. PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Ifa Raziah berharap perancangannya untuk mengerjakan umrah di Mekah pada Mac depan termakbul selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 39, berkata, dia bakal berangkat ke tanah suci bersama suaminya, Mohd Yani Abdul Rahman dan sedang memilih pakej serta tarikh sesuai untuk ke sana. "Sebelum ini sudah beberapa kali kami merancang untuk ke Mekah tetapi masih belum rezeki untuk ke sana dan Insya-Allah pada bulan Mac ini kami akan ke Tanah Suci."Buat masa ini kami sedang cari pakej sesuai dan masih belum menetapkan tarikh untuk berangkat. Harap-harap urusan kami dipermudahkan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.Dalam pada itu, Ifa berkata, sebagai persediaan dia banyak bertanya kepada rakan-rakan yang pernah mengerjakan ibadah itu sebagai panduan ketika berada di sana nanti."Selain itu saya juga banyak membaca buku panduan dan doa sebagai persediaan selebihnya banyak bertanya kepada rakan-rakan yang pernah ke sana tentang pengalaman mereka," katanya.Ditanya adakah dia akan mengubah penampilannya dan mengenakan hijab selepas balik daripada umrah, Ifa berkata dia tidak dapat berjanji mengenai perkara itu.Ini kerana dia bimbang tidak dapat menunaikan janji tersebut sekiranya dia berbuat demikian yang bakal memberikan persepsi buruk terhadapnya."Perkara seperti itu perlu datang dari hati yang ikhlas dan saya sendiri tidak tahu adakah saya akan memakai tudung secara kekal selepas pulang nanti."Jika saya berjanji akan berbuat demikian tetapi gagal menunaikannya ia akan memberi kesan lain kepada saya nanti," jelasnya.Tambah Ifa, apa yang lebih penting semua pihak mendoakan perkara yang terbaik untuknya dan suami sepanjang berada di sana.Sementara itu, Ifa berkata, dia bersyukur apabila rezekinya dalam bidang nyanyian dan lakonan semakin murah malah jadualnya telah padat dengan pelbagai aktiviti.Ifa juga telah dilantik sebagai duta produk kecantikan iaitu Seri Cantik dan Adam pada awal Januari lalu."Alhamdulillah rezeki tidak putus-putus. Ini mungkin adalah hikmah daripada niat untuk mengerjakan umrah jadi Allah murahkan rezeki saya," katanya.