suria

Kalah Dalam MasterChef, Tidak Halang Celina Khor Buka Restoran

Celina mahu membuka sebuah restoran yang menghidangkan makanan barat dan tempatan pada tahun ini.
Celina mahu membuka sebuah restoran yang menghidangkan makanan barat dan tempatan pada tahun ini.

PETALING JAYA: Pengacara dan peserta MasterChef Malaysia All Star, Celina Khor berhasrat membuka sebuah restoran walaupun gagal bergelar juara program tersebut yang berlangsung pada malam Selasa lalu.

Celina, 34, berkata, dia bercadang menghidangkan masakan Barat dan tempatan kepada pelanggan selain mengharapkan impiannya itu menjadi kenyataan pada tahun ini.

"Buat masa ini saya masih dalam proses perbincangan untuk memulakan perniagaan ini kerana saya sedar ia bukan semudah yang disangka," katanya kepada mStar Online.

Celina ditemui selepas majlis tayangan perdana program MasterChef Malaysia All Star peringkat akhir yang diadakan di First Aveneu Bandar Utama di sini.

Dalam pertandingan itu, peserta termuda Arshad Zamir Mohd Azmi, 21, bergelar juara dan berjaya menumpaskan 20 peserta lain.

Dalam pada itu, Celina berkata, dia tidak kecewa apabila kalah kepada Zamir kerana pemuda itu sememangnya berbakat dalam masakan.

Dia juga tidak kesal tewas sebanyak dua kali pada peringkat akhir kerana baginya ilmu dan pengalaman yang ditimba menerusi program itu cukup berharga.

"Saya hanya mula memasak secara serius sejak dua tahun lalu dan tidak menyangka dapat sampai ke tahap ini dan pengetahuan tentang bidang masakan semakin bertambah.

"Zamir memang layak untuk memenangi pertandingan ini kerana dia bukan sahaja berbakat tetapi kreatif dalam menghidangkan masakannya," kata Celina.

Sementara itu, Celina berkata, dia juga bakal muncul dengan buku masakan keduanya dalam masa terdekat ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain