Ronnie (tiga dari kiri) bersama kumpulannya Hyper Act turut memenangi tempat kedua dalam Anugerah Juara Lagu ke28.PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Hyper Act iaitu Ronnie mengambil masa hampir 10 tahun untuk dikenali dalam industri seni tanah air dan tidak pernah berasa kecewa dengan usaha itu.Ronnie atau nama sebenarnya, Shahron Hussein 33, berkata, perjalanannya dalam seni sungguh panjang iaitu ketika menyertai kumpulan Sunday pada awal tahun 2000 namun ia menemui kegagalan. "Perjalanan kerjaya saya dalam industri muzik sungguh jauh bermula menjadi penyanyi utama kumpulan Sunday dan pernah menghasilkan album sekitar tahun 2001. Namun kurang mendapat sambutan.“Selepas itu saya menyertai kumpulan Slam untuk satu projek istimewa menggantikan Zamani dan pernah juga mencuba nasib dalam rancangan realiti One In A Million (OIAM).“Dalam tempoh itu, pelbagai pahit maung termasuk pernah menyanyi di kelab malam sehingga akhirnya rezeki saya menganggotai Hyper Act,” katanya kepada mStar Online.Ronnie juga pernah merakamkan lagu duet berjudul Bintang Kehidupan bersama penyanyi Indonesia Yantie.Kata Ronnie, sebagai penyanyi dia menyedari tidak mempunyai pakej yang lengkap untuk berada dengan mudah dalam industri hiburan, malah dia tidak pernah menganggap pembabitannya dalam bidang nyanyian untuk mencari populariti."Saya tidak kisah orang kata penyanyi Hyper Act tidak kacak kerana saya di dalam industri ini adalah untuk berkarya dan mencari rezeki bukan mencari populariti."Pendengar sekarang juga sudah semakin bijak dan menerima sesebuah lagu kerana lagu tersebut betul-betul sedap bukan kerana penyanyinya," ujarnya.Dalam pada itu, Ronnie mengakui seorang penyanyi perlu berusaha dan tidak berputus asa kerana pasti apa diusahakan itu akan membuahkan hasil.Sementara itu, bercerita tentang kumpulan Hyper Act, katanya, selepas lagu Harapan dan Hanya Aku mendapat sambutan, mereka akan keluar dengan lagu terbaharu dalam masa terdekat."Single terbaru ini lebih kurang sama juga cuma lebih kepada membawa emosi bahagia berbanding Harapan dan Hanya aku yang beremosi sedih," katanya.