suria

Raja Azmi Lega Penipu Artis Ditangkap Polis

Gambar Adam Davin (tengah) ditangkap polis tersebar  di kalangan artis.
Gambar Adam Davin (tengah) ditangkap polis tersebar di kalangan artis.

PETALING JAYA: Penerbit filem kontroversi Raja Azmi berasa lega apabila lelaki yang pernah menyalahgunakan namanya iaitu Adam Davin atau Davinder Singh telah ditangkap polis pada petang Isnin.

Raja Azmi Raja Sulaiman, 55, berkata, penangkapan tersebut bukan sahaja menjadi pengajaran atas kesalahan yang dilakukannya, malah memberi kesedaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati ketika berurusan dengan lelaki tersebut.

"Alhamdulillah, saya rasa sangat lega akhirnya lelaki ini ditangkap kerana penipuan yang dilakukannya bukan sahaja pada saya, malah kepada ramai orang lain juga.

"Ia akan menjadi pengajaran kepada orang ramai juga agar mereka tidak mudah diperdaya dengan janji manis dan kata-kata individu yang baru dikenali," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Pada Mei tahun lalu, Raja Azmi telah membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dekat sini terhadap lelaki berkenaan berikutan penipuan di sebuah kedai kain Gulatis dan penyalahgunaan namanya sebagai penerbit filem.

Dalam pada itu, Raja Azmi berkata sejak peristiwa tersebut dia lebih berhati-hati agar tidak mudah diperdaya dengan individu yang baharu dikenali.

"Saya sangat serik dengan peristiwa tersebut sehinggakan saya sukar untuk percaya dengan kata-kata orang yang baru saya kenali.

"Pada saya dia seorang yang mempunyai kelebihan untuk memukau orang melalui kata-kata, namun dia telah menyalahgunakan kelebihan tersebut ke jalan yang salah," katanya.

Dalam pada itu, pengacara Hefny Sahad, 26, dan penyanyi Asfan Shah, 30, turut mengakui hampir ditipu oleh lelaki itu yang juga mengakui dirinya adik kepada pelakon Kavita Sidhu.

Hefny berkata, Davin cuba menawarkan kontrak untuk sebuah program televisyen dan akan menjalani penggambaran di luar negara bersama beberapa artis.

"Dia seorang yang sangat berani dan menawarkan kontrak untuk saya dan Asfan menjalani penggambaran dokumentari di luar negara selama beberapa bulan.

"Namun lama kelamaan saya dapat hidu kata-katanya seperti tidak masuk akal dan nasib baik saya juga diberitahu oleh seorang rakan bahawa dia pernah ada kes dengan Raja Azmi," ujarnya yang bersyukur tidak melibatkan apa-apa kerugian wang tunai.

Jelasnya lagi, Davin seorang yang sangat licik dalam penipuannya dengan tidak meninggalkan sebarang bukti yang membuatkan dia tertangkap.

Antara artis yang pernah ditipu pemuda itu ialah Anzalna Nasir, Betty Rahmad, dan Hanez Suraya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed yang dihubungi mStar Online pada Selasa mengesahkan tangkapan dibuat terhadap lelaki tersebut pada petang Isnin berhubung satu laporan mengenai kes penipuan.

Artikel Berikut

Artikel Lain