suria

Fesyen Selebriti Di Anugerah Meletop Era

SEPERTI mana acara karpet anugerah lain, Anugerah Meletop Era 2013 yang pertama kali diadakan turut diserikan dengan penampilan artis dengan gaya tersendiri bagi menjayakan tema ditetapkan penganjur.

Bersesuaian dengan temanya Meletop! rata-rata artis yang hadir tampil dengan warna-warna ceria seperti merah, hijau, kuning dan biru bagi menghidupkan suasana santai.

mStar Online sempat mengintai beberapa fesyen artis tempatan pada malam tersebut.

Bekas peserta program Akademi Fantasia 2013, Azhael yang dianggotai oleh Hal Husaini dan Mohd Azhar memilih pakaian rekaan Wan Huzairil dengan bertemakan floral.

Percubaan yang berani walaupun kelihatan sedikit janggal pada dua anak muda ini.

Pelakon drama Projek Memikat Suami, Emma Maembong pula memilih rekaan Rizman Ruzaini dan ternyata warna hijau gelap menyerlah kejelitaannya dan busana berkenaan tampak elegan pada tubuh Emma.

Rona hijau juga menaikkan kulit Emma yang putih gebu tanpa solekan tebal pada wajahnya.

Gaun kembang pilihan Yana Samsuddin rekaan Zery Zambry cukup comel dan ia sesuai dengan imej dan personaliti pelakon berusia 30 tahun itu.

Walaupun rata-rata memilih warna terang pada rekaan yang dipakai, aktres Lisa Surihani tampil dengan busana dari rona kelabu rekaan Alya Bustamam.

Agak formal untuk majlis anugerah seperti Meletop tetapi Lisa tetap kelihatan anggun dan yakin.

Manakala Tasha Shila pula memilih pakaian daripada jenama Clover's Closet dan busana tersebut berjaya menyerlahkan bentuk tubuh Tasha yang ramping.

Nabila Huda yang sering tampil dengan pakaian yang agak terdedah turut memilih rekaan Alya Bustamam.

Gabungan rona merah hati dan jingga menyerlahkan sisi Nabila yang sentiasa lincah tetapi tetap sofisikated.

Sara Ali pula memilih gaun berwarna merah terang dan disesuaikan dengan sepatu daripada Christian Louboutin dari warna hitam.

Pasangan pengantin baharu, Rozita Che Wan dan Zain Saidin membuat pilihan bijak apabila tidak tampil dengan pakaian sedondon bagi melambangkan cinta mereka.

Rozita seperti biasa tetap anggun dengan busana dari rona putih rekaan Kudin manakala Zain dengan mengayakan rekaan dari butik Taufiq Tailor.

Pelakon Siti Saleha juga memilih gaun paras lutut berwarna putih rekaan Rizman Ruzaini dan ia kelihatan ringkas dan cukup sesuai digayakan pada majlis seperti Anugerah Meletop Era.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain