suria

Sherry Alhadad Pernah Ditipu Syarikat Produksi

Sherry semakin mendapat perhatian dalam bidang seni.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara baharu iaitu Sherry Alhadad pernah mengalami peristiwa pahit apabila ditipu oleh beberapa produksi drama yang gagal membayar wang lakonan seperti dijanjikan.

Sherry, 30, berkata, dia juga sering ditipu tentang tawaran yang ingin diberikan kepadanya sehingga membuatkan dia kecewa.

"Saya bermula dalam bidang lakonan sejak tahun 2006 dan sepanjang tempoh itu pelbagai perkara telah menimpa saya termasuk ditipu oleh pihak produksi apabila mereka tidak membayar wang lakonan saya.

"Bukan setakat itu malah ada beberapa kejadian ada produksi yang berjanji untuk mengambil saya berlakon memungkiri janji sehingga saya terpaksa menelefon mereka untuk bertanyakan hal berkenaan,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Sherry, dia pernah berputus asa untuk meneruskan kariernya dalam bidang lakonan namun sokongan rakan-rakan ketika itu menaikkan semangatnya semula.

"Apabila saya sering ditipu saya jadi putus asa dan sampai satu tahap saya tidak mendapat sebarang tawaran selama setahun dan mula berfikir untuk mencari pekerjaan tetap bagi menampung hidup.

Sherry bergandingan dengan Zulin semasa Anugerah Festival Drama Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Saya kuatkan semangat kerana lakonan adalah minat utama saya sejak dahulu lagi dan rakan-rakan di sekeliling adalah kekuatan yang membuatkan saya bangkit," katanya.

Sherry Alhadad

Sherry bergandingan dengan Zulin semasa 

Anugerah Festival Drama Kuala Lumpur baru-baru ini. 


Sementara itu, Sherry berkata, berkat kesabarannya selama lapan tahun untuk mencipta nama mula menampakkan hasil.

"Penantian saya selama ini rasanya berbaloi dan ia banyak mengajar saya supaya bersabar dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian," katanya.

Dalam pada itu, Sherry mengakui penampilannya bersama Zulin Aziz pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) siaran TV3 pada 22 Februari lalu banyak mengubah hala tuju kariernya dalam bidang seni.

Kata Sherry, penampilannya sebagai pengacara acara itu adalah bukti industri seni di Malaysia semakin matang dan tidak meletak sebarang diskriminasi terhadap wanita berbadan besar sepertinya.

"Jujurnya saya sangat gementar pada malam itu kerana itu adalah kali pertama saya menjadi pengacara acara besar dan Alhamdulillah ramai memberikan reaksi positif," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sherry berkata, selain mengendalikan segmen khas di Hot FM bersama Zulin, dia juga bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Oh! My English musim ketiga selain bakal terlibat dalam pementasan teater Projek Disko Baldi.

Sherry Alhadad, Zulin

Artikel Lain