suria

Kad Kahwin Syamsul & Syafiq Menyusul Dua Minggu Lagi

PETALING JAYA: Persiapan majlis resepsi anak kepada pengarah filem Datuk Yusof Haslam iaitu Syamsul dan Syafiq yang akan dilakukan secara serentak pada 18 April depan berjalan lancar dan hampir selesai.

Ibu kepada kedua-dua selebriti tersebut, Datin Patimah Ismail berkata, kad undangan akan mula diedarkan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Alhamdulillah semuanya persiapan berjalan dengan lancar, tinggal beberapa perkara sahaja termasuk kad undangan yang masih belum siap lagi.

"Kad jemputan ditempah di Jakarta, Indonesia dan belum lagi sampai, Insya-Allah lagi dua minggu kita akan edarkan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Tambah Fatimah, majlis menyambut tetamu akan diadakan secara sederhana di Dewan Perdana Felda dengan bertemakan putih dan merah jambu dengan busana rekaan Alia Bustamam.

Sementara itu majlis resepsi Puteri Sarah Liyana akan diadakan pada sebelah selepas akad nikah pada 8 Mac ini di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bertemakan Islamic Arabian Night.

"Semasa hari pernikahan dan majlis resepsi pengantin perempuan nanti Syamsul hanya pakai jubah kerana dia yang minta untuk pakai pakaian itu.

"Manakala majlis menyambut menantu pula bertemakan warna putih dan merah jambu," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang penaja, kata Patimah, mereka tidak mengambil mana-mana penaja untuk majlis resepsi tersebut.

Perkara tersebut juga atas permintaan Syamsul yang mahu majlis berjalan dalam keadaan yang sederhana.

"Memang ada pihak yang mahu menaja majlis ini, namun Syamsul sudah beritahu awal-awal bahawa dia mahu majlis tersebut dilakukan oleh keluarga tanpa sebarang tajaan," katanya.

Syamsul bakal diijabkabulkan dengan aktres Puteri Sarah Liyana pada 8 Mac ini di Masjid Sri Damansara kira-kira pada pukul 10 pagi.

Manakala, majlis pernikahan Syafiq dengan tunangnya, Aiesyah Zainal pula akan diadakan pada 5 April depan iaitu kira-kira sebulan selepas pernikahan Syamsul.

Artikel Lain