PETALING JAYA: Pengarah drama, Jurey Latif Rosley berharap status dirinya berkahwin empat seperti yang didakwa beberapa pihak tidak dipersoalkan. Dia yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), enggan memberi sebarang komen terhadap perkara tersebut dan menganggap ia sebagai perkara peribadi yang tidak perlu dikongsi. "Saya tidak mahu beri sebarang komen dan memanjangkan hal ini kerana saya bukan seorang artis dan orang tidak kenal saya pun," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad. Jurey berkata demikian ketika diminta mengulas tentang berita di ruangan pojok sebuah akhbar mingguan yang melaporkan bahawa dia baharu sahaja berkahwin isteri keempat. Beliau juga dikatakan baharu sahaja pulang dari berbulan madu di Paris, Perancis bersama isteri keempat yang dilaporkan berasal daripada Sabah. Dalam pada itu, Jurey berkata pemergiannya ke negara itu pada bulan lalu adalah bagi meninjau lokasi penggambaran drama terbaharunya berjudul Maharani. "Saya bukan pergi berbulan madu tetapi meninjau dan mencari lokasi penggambaran yang sesuai di sana untuk drama terbaharu saya. "Insya-Allah penggambaran drama tersebut akan dilakukan pada Mei ini," katanya. Tambahnya, dia yang juga Presiden Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) berkata, kini sedang sibuk menguruskan perjanjian memorendum bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi beberapa program akedemik dalam usaha meningkatkan kualiti persatuan tersebut.