PETALING JAYA: Penyanyi Herman Tino tidak berkecil hati dengan segelintir pihak yang menuduhnya sebagai tidak waras apabila mengambil keputusan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 23 Mac ini dan kemudiannya mengumumkan menarik diri. Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 60, berkata, cakap-cakap berkenaan tidak memberi kesan kepadanya kerana ia adalah perkara biasa dalam dunia politik. "Apa yang mereka katakan tentang saya bukan satu masalah kepada kerana ada lebih banyak pemimpin lain yang dikecam dengan pelbagai tuduhan. "Saya tidak kisah jika mereka ingin terus melemparkan tuduhan negatif dan ia adalah perkara biasa," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin. Dalam pada itu, Herman Tino berkata, keputusannya menarik diri tepat selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan bertanding pada PRK tersebut. Jelas Herman Tino, tujuan asalnya bertanding bagi menunjukkan protes kepada Anwar dan bukannya berhasrat memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu. "Saya ambil keputusan untuk bertanding hanya semata-mata untuk menunjukkan protes kepada beliau (Anwar) dan bukannya ingin memenangi kerusi DUN tersebut. "Nampaknya keputusan menarik diri adalah tepat kerana Anwar juga tidak dapat bertanding," katanya. Sementara itu, Herman Tino turut memberitahu hubungannya dengan isteri iaitu Noraini Ibnu kembali jernih selepas mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada PRK tersebut. Katanya, mereka suami isteri tidak bertegur sapa selama dua minggu ekoran keputusannya ingin bertanding pada pilihan raya itu. "Sejak saya memberitahu tidak jadi bertanding pada PRK tersebut hubungan kami mula jernih selepas dua minggu tidak bertegur sapa," katanya.