suria

Urus Syarikat Pakej Umrah, Adi Putra Tidak Tinggal Dunia Lakonan

Adi akan meneruskan kerjayanya sebagai pelakon walaupun kini sibuk menguruskan syarikatnya.
PETALING JAYA: Pelakon Adi Putra menjelaskan tidak akan meninggalkan dunia lakonan walaupun dia kini sibuk menguruskan syarikat pakej umrah iaitu Hadid Travel & Tours yang ditubuhkan sejak awal tahun lalu.

Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 33, berkata, penglibatannya dalam bidang perniagaan itu adalah sesuatu permulaan baharu dalam hidupnya dan akan memberikan fokus kepada kedua-dua bidang tersebut dengan sebaik-baiknya.

"Tidak, saya akan masih terus berlakon selagi masih diperlukan dan perniagaan pakej umrah ini adalah satu ruang baharu untuk saya terus menimba ilmu dan bezanya ia dalam bidang perniagaan.

"Alhamdulillah tahun lalu rezeki saya banyak dalam bidang lakonan dan tahun ini pula dapat terlibat dalam perniagaan," katanya kepada mStar Online.

Adi ditemui ketika hadir ke majlis pelancaran program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul 1435 Hijrah di Hotel Royale Chulan di sini, baru-baru ini.

Acara itu bakal diadakan di Dataran Masjid Putra, Persint 1, Putrajaya pada 21 Mac ini pukul 8 malam.

Dalam pada itu, Adi berkata, walaupun masih baharu dalam bidang tersebut namun dia akan memastikan semua keperluaan peserta yang menggunakan pakej umrah syarikatnya akan diuruskan dengan baik.

Adi Putra
Adi akan memastikan kesemua peserta yang mengikuti pakej umrah syarikatnya diuruskan dengan baik.

Malah kata Adi, pihaknya turut menyediakan ustaz berpengalaman dalam mengerjakan umrah bagi membantu mereka menyempurnakan ibadah mereka apabila tiba di Mekah.

"Masih banyak perkara yang perlu saya belajar untuk menguruskan pakej umrah namun saya akan pastikan semua peserta akan diuruskan dengan baik sepanjang berada di Mekah," ujarnya.

Tambah Adi, buat masa ini dia hanya menfokuskan kepada pakej umrah kepada peserta dari Malaysia selain Singapura dan tidak bercadang untuk membuka pakej haji.

Sementara itu, Adi turut menjelaskan dia tidak pernah menggunakan popularitinya sebagai seorang selebriti untuk menarik perhatian peminat dalam melariskan pakej umrah syarikatnya yang ditubuhkan beberapa bulan lalu.

Artikel Lain