PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Mawar Abdul Karim menjelaskan kata-kata negatif daripada sesetengah pihak yang mempertikaikan dia sering menenami suaminya ke acara hiburan langsung tidak menggangu emosinya. Mawar, 25, yang juga anak kepada pengasas tudung jenama Fareeda berkata, dia tidak mampu untuk menangkis setiap pandangan negatif terhadap mereka suami isteri malah sejak awal sudah bersedia dengan gosip sedemikian. "Mulut orang kita tidak boleh tutup daripada melemparkan kata-kata negatif tetapi ia bukan sesuatu yang menggangu saya kerana sejak awal saya bersedia dengan perkara sebegini. "Saya tidak berkecil hati kerana suami banyak memberi sokongan dan dorongan apabila ada pihak yang mempertikaikan perkara kecil seperti itu," katanya kepada mStar Online. Tambah Mawar, dia juga tidak berkecil hati kerana apa yang diperkatakan tidak seteruk apa yang dialaminya sejak berkecimpung dalam bidang perniagaan sebelum ini. "Jika hendak diikutkan ia tidaklah seteruk seperti mana saya perlu mengharungi cabaran dalam bidang perniagaan sebelum berada di tahap sekarang dan saya sudah terbiasa dengan perkara sebegini," ujarnya. Ditanya soal anak Mawar menyerahkan perkara itu kepada rezeki. Sementara itu, Mawar berkata, sejak berkahwin dengan Fizo, dia lebih yakin untuk berhadapan dengan pihak media berbanding sebelum ini apabila dia kelihatan pasif apabila diajukan soalan. Jelas Mawar, dia bukan bersikap dingin dengan para wartawan sebaliknya bimbang tersalah memberi kenyataan memandangkan dia masih menyesuaikan diri dengan kehidupan suaminya sebagai seorang selebriti. "Sebelum ini saya hanya banyak bercakap mengenai jenama tudung saya dan tidak pernah bercakap soal lain dan sebab itu saya kurang yakin untuk menjawab pertanyaan daripada media sebelum ini kerana bimbang tersalah cakap. "Bagaimanapun kini saya semakin yakin dan suami banyak membantu dalam membina keyakinan itu," katanya. Dalam perkembangan lain, Mawar berkata, dia semakin bahagia melayari rumahtangga bersama Fizo dan apabila ditanya soal anak mereka menyerahkan kepada rezeki. "Kami tidak merancang tetapi menyerahkan kepada rezeki dan ketentuan daripada Allah," ujarnya ringkas.