PUTRAJAYA: Atas dasar prihatin, beberapa artis tanah air mengambil inisiatif mengunjungi keluarga penumpang dan kru MH370 yang ditempatkan di sebuah hotel di sini, bagi berkongsi kesedihan keluarga terbabit. Penyanyi Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin dan isteri, Arianie Mohd Abidin , Nash (Nashruddin Elias) serta Datuk Malek Ridzuan meluangkan masa bersama-sama keluarga terbabit bagi mententeramkan keresahan mereka. "Kami juga membawa mesej daripada Rohana Jalil dan Nassier Wahab yang kini berada di tanah suci Makkah mengerjakan umrah serta (pelawak) Abon, meyampaikan rasa simpati mereka," kata Nash ketika ditemui pemberita. Menurut penyanyi itu, mereka sudah datang ke hotel tersebut sejak hari ketiga insiden atas kapasiti sebagai pegawai kehormat dan pegawai bersekutu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Nash dan Hattan meluangkan masa bersama-sama keluarga terbabit bagi mententeramkan keresahan mereka. Sementara itu, Arianie yang pernah berkhidmat sebagai pramugari Malaysia Airlines (MAS) selama 24 tahun sebelum bersara pada Januari lepas, turut berkongsi kesedihannya. "Saya mengenali rapat beberapa anak kapal di dalam pesawat itu dan kami pernah kerja bersama, kami di dalam MAS seperti satu keluarga," katanya dengan nada sebak. Penerbangan MH370 yang dikendalikan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lepas. Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.- BERNAMA