suria

4 Stesen Radio Bergabung Tunjuk Sokongan Pencarian MH370

Barisan penyampai Star Radio Group yang bersiaran bersama-sama sebagai tanda sokongan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370. Foto CHAN TAK KONG

PETALING JAYA: Star Radio Group mengambil inisiatif bersempena  kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan menggabungkan empat stesen radio iaitu Suria FM, red FM, 988 FM, dan Capital FM untuk bersiaran secara serentak.

Siaran itu berlangsung di bawah kempen Kamilah Malaysia pada Selasa bermula pukul 6 hingga 10 pagi.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Radio Star, Kudsia Kahar, berkata, para penyampai iaitu Adibah Noor (Suria FM), JJ (Red FM), Sam Mak, Chan Fong dan Anson (988) serta Pamela Chong dan Janice Yap (Capital FM) telah bergabung dimana keempat-empat mereka bersiaran serentak di dalam satu konti di studio 988 di sini.

"Idea ini tercetus selepas kejadian kehilangan MH370 dan ini merupakan kali pertama empat stesen radio berada dalam satu konti dimana siaran keempat-empat radio ini akan jadi sama.

"Malah para pendengar juga berpeluang memberikan sajak mengenai harapan mereka mengenai kehilangan MH370 menggunakan bahasa masing-masing menerusi laman Twitter atau Facebook dan kemudian ia akan dideklamasikan oleh penyampai radio kami.

"Memang rasa sedikit janggal apabila empat jam siaran ini meliputi bahasa Inggeris, Melayu dan Cina. Tetapi, Alhamdulillah, respons yang diberikan oleh pendengar sangat positif. Agak unik, tetapi ia jelas menunjukkan rakyat Malaysia bersatu apabila munculnya kejadian-kejadian seperti ini," katanya kepada mStar Online.

Selain mendeklamasikan sajak, siaran itu turut membuat temubual khas bersama seorang pakar di bidang ketenteraan dan penerbangan selain menemubual ahli keluarga dan kenalan rapat penumpang dan anak kapal pesawat tersebut.

Sementara itu, JJ menyifatkan siaran bersama tujuh orang penyampai radio serentak adalah satu perkara yang luar biasa apatah lagi mereka perlu berinteraksi tanpa melebihi sesiapa ketika ke udara.

"Mujurlah sebelum bersiaran, kami telah melakukan latihan dan bagi selaraskan penyampaian, kami menggunakan isyarat tangan. 

"Sebagai contoh, selepas penyampai A selesai bercakap, dia akan memberi isyarat tangan kepada penyampai B untuk menyambung percakapan tersebut. Agak mencabar, tetapi kami berjaya melakukannya dengan baik sekali. Diharap segmen sebegini dapat dilaksakan dengan lebih kerap," ujarnya.


Artikel Lain