suria

Enggan Anak 'Bekerja', Diana Danielle Tolak Tawaran Iklan

Diana Danielle bersama anaknya Muhammad. - gambar daripada Instagram milik Diana.
PETALING JAYA: Pelakon Diana Danielle memberitahu terpaksa menolak tawaran iklan yang mahu anaknya iaitu Muhammad menjadi model sesuatu produk kanak-kanak.

Diana atau nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, 23, berkata, dia tidak mahu anaknya yang baru berusia sembilan bulan itu berhadapan dengan tekanan sewaktu penggambaran.

"Setakat ini memang ada banyak tawaran iklan untuk anak saya, namun saya terpaksa tolak semuanya.

"Saya dan suami rasa dia masih terlalu kecil untuk 'bekerja', biar dia membesar dahulu. Saya tidak mahu pembesaran dia terjejas kerana terpaksa bekerja," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Farid Kamil ini berkata, dia akan kembali berlakon pada Mei depan untuk sebuah filem epik mengisahkan soal sejarah negeri Sarawak. 

Tambahnya, sudah sampai masa untuk dia kembali semula berlakon bagi meningkatkan pendapatan keluarga selepas berehat panjang untuk membesarkan anak sulungnya itu. 

"Zaman sekarang kita kena bekerja untuk bantu ekonomi keluarga. Sudah sampai masanya saya kembali bekerja dan akan berlakon untuk sebuah filem epik tentang negeri Sarawak pada Mei ini.

"Bagaimanapun, saya akan bawa sekali Muhammad ke lokasi kerana dia masih menyusu badan dan saya tidak sanggup berpisah lama dengan dia," ujarnya.

Kata Diana,  Muhammad juga tidak banyak ragam selain cepat selesa dengan orang lain.

Artikel Lain