suria

Insiden MH370: Artis Malaysia Diminta Tidak Balas Tohmahan Artis China

Freddie Fernandez
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berharap artis-artis negara ini tidak membalas segala tomahan yang dilemparkan oleh artis-artis negara China yang melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan Malaysia berhubung insiden pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Freddie berkata, pihaknya kesal dengan tuduhan liar beberapa selebriti negara republik itu yang mempersoalkan ketelusan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan pihak berkuasa negara ini.

"Saya sangat kecewa dengan tindakan beberapa selebriti popular China melalui laman sosial mereka yang mengecam dan mempersoalkan tindakan Malaysia mengendalikan proses mencari pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi.

"Mereka juga tidak sepatutnya mempengaruhi dan meminta rakyat negara itu memboikot artis Malaysia yang mencipta nama di sana," katanya kepada mStar Online  di sini, Jumaat.

Tambah Freddie, tragedi yang menimpa pesawat MH370 adalah merupakan satu kejadian yang tidak dijangka.

Katanya, mereka seharusnya berfikir secara rasional dan bersama-sama bersimpati terhadap kejadian ini.

"Bukan rakyat China sahaja yang menimpa musibah ini, sebaliknya penumpang lain daripada beberapa negara turut sama terlibat, ia adalah satu kemalangan dan semua pihak tidak perlu menyalahkan sesiapa.

"Saya berharap artis Malaysia tidak bertindak membalas serta mengeruhkan lagi keadaan yang akhirnya akan menjejaskan hubungan dua negara terutamanya dalam industri hiburan," katanya. 

Terdahulu, sebuah akhbar di  China iaitu Beijing Youth Daily pada Selasa melaporkan beberapa selebriti kelahiran negara itu antaranya aktor Liu Ye dan Yang Lan menyelar tindakan kerajaan Malaysia yang dikatakan memyembunyikan maklumat mengenai MH370 selain mempersoalkan misi mencari dan menyelamat  yang dijalankan oleh negara.

Penyanyi Shila Amzah yang popular di negara berkenaan turut terkena tempias akibat sikap tidak professional segelintir artis berkenaan.

Artikel Lain