PUTRAJAYA: Penyanyi terkenal Indonesia iaitu Krisdayanti (KD) tidak sedikitpun mencemburui kejayaan Datuk Rossa yang menjadi perhatian pihak penganjur untuk mengambilnya mengadakan persembahan di negara ini semenjak dia membuat keputusan berehat seketika dari dunia hiburan. Krisdayanti, 39, sebaliknya berkata, dia gembira dan bangga melihat ramai artis Indonesia mendapat perhatian di negara ini termasuk Rossa sendiri. "Biarpun saya lama menyepi dari dunia hiburan tetapi saya tetap menjadi pemerhati dan bangga melihat semua kejayaan yang dikecapkan Rossa. "Dia adalah kawan baik saya dan saya tidak pernah cemburu dengan popularitinya di Malaysia kerana ia sesuatu perkara yang baik," katanya kepada mStar Online. Krisdayanti ditemui pada sidang media semepna minggu setiausaha iaitu Secretaries Week @ PICC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Isnin. Penyanyi lagu Menghitung Hari itu akan membuat persembahan istimewanya di Dewan Perdana pusat konvensyen itu pada 17 April ini bersama artis jemputan iaitu Awi Rafael. Krisdayanti muncul selepas dua tahun berehat daripada dunia seni. Dalam perkembangan sama, Krisdayanti menganggap pengurniaan gelaran 'Datuk' yang diterima Rossa adalah bukti usaha keras penyanyi itu membina nama di negara ini. "Apabila saya mendapat tahu Rossa terima gelaran 'Datuk' saya cukup gembira kerana ia adalah usaha kerasnya selama ini," ujarnya. Dalam pada itu, Krisdayanti berkata, dia tidak pernah menyesal meninggalkan dunia nyanyian selama dua tahun kerana sepanjang tempoh itu dia dapat memberikan tumpuan sepenuh masa kepada keluarga. Malah dia bersama suami, Paul Lemos juga cukup gembira dapat membesarkan dua anak mereka iaitu Ariannha Amora, 2, dan Kellen Alexender, setahun, selain melupakan segala kisah kontroversi penceraian bersama bekas suaminya, Anang yang melandanya sebelum ini. "Ketika itu semua pihak menyalahkan saya dan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik kepada saya namun saya langsung tidak simpan dalam hati kerana tiada masa untuk memikirkan semua perkara negatif tersebut. "Ini kerana saya terlalu sibuk menguruskan rumah tangga bersama Raul dan dua anak kami dan saya cukup bahagia dengan kehidupan sekarang," jelasnya. Krisdayanti bersama barisan artis jemputan pada persembahan Minggu Setiausaha yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 17 April ini. Krisdayanti mempunyai dua lagi orang cahaya mata iaitu Aurel dan Azriel hasil perkahwinan terdahulunya dengan Anang. Dalam perkembangan sama, Raul mengizinkannya kembali aktif sebagai penyanyi kerana menyedari bidang nyanyian sudah sebati dengan jiwanya. "Kembalinya saya pada hari ini adalah kerana izin daripada suami untuk melihat saya kembali memeriahkan industri muzik," ujarnya. Sementara itu, bercakap mengenai persembahan pada minggu setiausaha itu, Krisdayanti memberitahu akan menyampaikan rangkaian lagu-lagu popularnya termasuk beberapa buah lagu baharu. Penyanyi bersuara lantang itu sempat mendendangkan lagu terbaharunya berjudul Bertubi-Tubi untuk semua tetamu yang hadir. Dia juga tidak sabar untuk tampil di PICC bagi mengadakan persembahan itu kerana ia adalah acara pertamanya di negara ini semenjak kembali aktif dalam bidang nyanyian. "Ini adalah permulaan dan saya telah merancang untuk mengadakan sebuah konsert khas di Kuala Lumpur pada September depan bagi mengubati rindu kepada semua peminat di Malaysia," katanya. Tiket untuk menyaksikan Secretaries Week @ PICC dijual pada harga serendah RM5,880 hingga RM8,880 untuk sebuah meja yang memuatkan 10 tetamu. Sebarang pertanyaan untuk pembelian tiket boleh menghubungi 03-8887-6000 atau 011-2945-6365 atau melayari www.ticketpro.com.my.