Penyanyi itu bakal membuat kemunculan istimewa pada persembahan istimewa Minggu Setiausaha bersama Afghan di Dewan Perdana pusat konvensyen itu pada 16 April ini.
Dalam pada itu, Noryn berkata, sebelum disahkan hamil dia banyak melakukan rawatan akupunktur yang disarankan oleh rakannya yang juga penyanyi, Nurul Wahab.
Jelas Noryn, rawatan tersebut banyak membantunya dalam melancarkan kembali sistem dalamannya tambahan pula dia mengalami masalah kurang darah dalam badan.
"Alhamdulillah dengan izin Allah selepas beberapa kali melakukan rawatan itu saya disahkan hamil anak pertama selepas sekian lama mencuba mendapatkan zuriat.
"Saya juga banyak meminta nasihat dan pandangan daripada rakan selebriti seperti Nurul dan Betty Benafe kerana mereka mempunyai pengalaman," ujarnya.
Tambahnya lagi, buat masa ini dia tidak mengalami sebarang alahan teruk namun mengakui sentiasa berasa penat.
Sementara itu, Noryn berkata, dia berhasrat untuk memperlahankan karier nyanyiannya selepas ini dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir.
Bagaimanapun kata Noryn, itu tidak bererti dia akan meninggalkan terus bidang nyanyian sebaliknya akan lebih memilih undangan yang ditawarkan kepadanya.
"Mungkin saya akan kurang mengadakan persembahan bersifat komersial namun jika ia berkaitan dengan kebajikan atau acara tertutup saya akan terima.
"Saya juga mahu kembali menjadi pengajar dalam bidan vokal selain memberi tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir," ujarnya.
Tiket untuk menyaksikan persembahannya pada Secretaries Week @ PICC dijual serendah RM5,880 hingga RM8,880 untuk sebuah meja yang memuatkan 10 tetamu.