KUALA LUMPUR: Membuktikan hubungan cinta mereka masih kekal, kekasih kepada Adira iaitu Shahrul Nasrun hadir memberi semangat kepada penyanyi itu pada malam pratonton Konsert Stanza Cinta yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, malam Khamis lalu. Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 23, berkata, dia sendiri terkejut kerana tidak dimaklumkan teman lelakinya yang juga Pengerusi Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia itu hadir pada malam pratonton tersebut. "Saya tidak tahu dia ingin datang menyaksikan konsert ini, tiba-tiba sahaja semasa segmen kedua, pengurus pentas memberitahu ada seorang lelaki ingin jumpa saya. "Biasanya saya memang tidak beritahu dia saya berada di mana, cuma mungkin dia tahu tentang konsert ini dan sengaja datang untuk memberi semangat," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun, Adira menafikan kehadiran kekasihnya itu adalah untuk membuktikan kepada masyarakat gosip mereka putus cinta tidak benar. "Saya tidak ada apa-apa masalah pun dengan dia dan hubungan kami masih seperti dahulu. "Orang bercakap demikian kerana saya padam gambar dia di laman Instagram, namun sebelum saya padam saya sudah memberitahu dia terlebih dahulu. "Lagi pula hanya gambar kami berdua sahaja yang saya padam, masih banyak lagi gambar dia seorang dalam Instagram saya," katanya. Adira bertindak demikian bagi mengelakkan pergaduhan antara peminat yang tidak senang dengan gambar tersebut. Sementara itu, ditanya tentang hubungannya dengan aktres Lana Nordin yang turut dikatakan mempunyai hubungan dengan Shahrul, Adira berkata dia tidak mempunyai masalah dengan pelakon wanita itu. "Saya pernah terserempak dengan Lana dalam satu majlis, kami bertegur seperti biasa dan tiada masalah. "Ketika khabar angin itu timbul saya ada bertanya dengan Shahrul tentang perkara berkenaan tetapi dia sudah menjelaskan perkara tersebut," katanya. Dalam pada itu, ditanya tentang kerjasama dengan bekas kekasihnya penyanyi Hafiz Suip dalam persembahan berkenaan Adira berkata, dia tidak menyimpan sebarang perasaan cinta kepada penyanyi itu lagi. Jelasnya, apa yang berlaku antara dia dan Hafiz di atas pentas hanya atas dasar kerja semata-mata. "Saya bakal bekerjasama dengan Hafiz untuk beberapa projek akan datang, tetapi ia bukan satu masalah. "Kami sudah jadi kawan baik dan saya tiada sebarang perasaan lagi terhadapnya. Babak bersentuhan yang dilihat di atas pentas hanya untuk menarik perhatian penonton," katanya. Konsert Stanza Cinta turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Amy Search, Noh Salleh, Jaclyn Victor, dan Haziq yang berlangsung selama dua hari iaitu 4 dan 5 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya.