suria

Astro Perkenalkan Pula Dunia Pencetus Ummah

Dunia Pencetus Ummah diperkenalkan sebagai kesinambungan Pencetus Ummah. Foto Ricky Lai

KUALA LUMPUR: Kejayaan program realiti pencarian pendakwah generasi baharu, Pencetus Ummah (PU) musim pertama yang diperkenalkan pada tahun lalu membuatkan stesen televisyen Astro memperkenalkan kesinambungan program itu menerusi Dunia Pencetus Ummah (Dunia PU).

Pengurus Saluran Astro Oasis, Namanzee Harris berkata, program tersebut adalah sebagai langkah menaikkan semula nama-nama pendakwah PU musim lalu yang pernah menjadi fenomena buat penonton.

"Kami ingin menjadikan peserta-peserta musim lalu terus relevan buat penonton agar mereka lebih dikenali.

"Program ini pula konsepnya sama seperti PU lalu, cuma dakwah yang disampaikan lebih santai tanpa juri di hadapan," katanya.

Namanzee ditemui pada majlis pelancaran Dunia PU bersama dengan pengacara program itu, Fahrin Ahmad dan Dr Ridhuan Tee Abdullah di Hotel JW Marriot di sini pada Rabu.

Tambah Namanzee, Dunia PU juga akan membawa kesemua peserta PU musim lalu menjelajah ke tujuh buah negeri bagi menyampaikan dakwah masing-masing.

Antara negeri yang akan dijelajah termasuklah Negeri sembilan, Melaka, Terengganu, Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah.

Dalam pada itu, Namanzee berkata, program ini juga sebagai sumbangan semula kepada masyarakat yang menyokong sepanjang PU musim pertama diadakan.

"Kami bukan sekadar membawa peserta-peserta PU ini berdakwah.

"Tetapi pada masa sama turut  menganjurkan sesi uji bakat untuk program PU musim kedua sepanjang rakaman program Dunia PU dijalankan," ujarnya.

Rakaman program Dunia PU akan bermula 19 April ini dan akan disiarkan menerusi saluran Astro Oasis dan Mustika HD pada setiap Khamis, pukul 9 malam, bermula 1 Mei depan.

Pada musim pertama lalu, juara PU dimenangi peserta dari Selangor iaitu Muhammad Hafiz Mohd Haneefa.


Artikel Lain