suria

Elfira Borong Kain RM20,000 Di India

Elfira (tengah) bersama adik-adiknya Ezlisa (kiri) dan Ezzrin (kanan) teruja dapat bercuti ke Kochi, India bersama AirAsia.
PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy tidak lokek berbelanja sehingga mencecah kira-kira  RM20,000 untuk membeli pelbagai fabrik mewah dan produk kecantikan ketika melancong ke Kochi, India baru-baru ini.

Menurut Elfira, 20, minatnya terhadap kecantikan menyebabkan dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan berjumlah ribuan ringgit bagi membeli sesuatu produk mengikut cita rasa dan penampilannya.

"Setiap kali pergi melancong, saya pasti akan membeli kain dan barang kecantikan diri. Itu perkara wajib yang akan saya bawa pulang.

"Jadi apabila berpeluang ke India, pastinya kain sari adalah sasaran saya. Malah saya turut membeli sepasang busana yang dikenali sebagai 'lehenga' berharga kira-kira RM4,000," katanya kepada mStar Online.

Tambah Elfira perbelanjaannya itu sangat berbaloi jika dia mahu mendapatkan fabrik dari kualiti yang sama dalam pasaran tempatan.

"Kalau di Malaysia harga sepasang 'lehenga' kira-kira RM7,000. Jadi saya jimat banyak apabila berbelanja di India. Malah kualiti dan hasil kerja tangannya juga sangat cantik dan kemas," katanya.

Pelakon tiga beradik ini akui jarang dapat bercuti ke luar negara bersama-sama kerana komitmen masing-masing terhadap pelajaran dan kerjaya.

Terang Elfira, 'lehenga' merupakan gaun labuh yang dihiasi sulaman tangan merupakan pakaian tradisional wanita India khususnya ketika menyambut perayaan.

Elfira turut memberitahu, peluang berbelanja itu dilakukan kerana dia bertuah selepas mendapat tawaran mengikuti lawatan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia  ke Kochi selama tiga hari bagi mempromosikan produk pelancongan di daerah itu.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah dua lagi adiknya yang juga pelakon, Ezlisa Loy dan Ezzrin Loy serta ibu mereka, Filzah Yusoff yang bertindak sebagai pengurus.

Mengulas mengenai kunjungannya ke Kochi dan Kerala, Elfira berkata dia teruja melihat sendiri aktiviti menangkap ikan secara tradisional menggunakan 'pukat Cina'.

"Ini pengalaman yang paling seronok ketika di Kochi. Bukan sahaja dapat melihat sendiri gaya hidup masyarakat setempat, malah saya dan adik-adik berpeluang mencuba menangkap ikan menggunakan pukat itu," katanya.

Elfira Chinese Fishing Nets
Elfira (kanan), Ezzrin (tengah) dan Ezlisa cuba mengendalikan pukat Cina yang masih digunakan oleh penduduk tempatan untuk menangkap ikan.

Selain itu pengalaman menaiki 'rumah bot' menyusuri kawasan tasik berlatarbelakangkan kawasan perkampungan penduduk tempatan merupakan pengalaman istimewa yang tidak pernah dirasai.

"Walaupun perjalanan untuk ke destinasi itu mengambil masa yang lama, namun pakej yang disediakan termasuk makan tengahari di dalam bot cukup untuk saya melupakan seketika jadual kerja yang padat selama ini," katanya.

Sementara itu jelas Elfira yang bakal tampil menerusi teater Di Bawah Lindungan Kaabah pada Mei ini, dia gembira apabila diberi peluang untuk bersama-sama AirAsia mengikuti lawatan tersebut terutamanya perjalanan itu disertai ibu dan adik-adiknya.

Elfira Houseboats
Elfira merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan AirAsia dan wakil media. 

"Dalam kesibukan kerja, bukan mudah untuk kami sekeluarga meluangkan masa untuk bercuti bersama-sama.

"Jadi apabila AirAsia beri kesempatan sebegini, kami rasa cukup bertuah dan berterima kasih," katanya.

AirAsia menawarkan perjalanan sebanyak sepuluh kali seminggu ke Kochi, India dengan pelbagai promosi tambang rendah ditawarkan. Untuk maklumat lanjut sila layari www.airasia.com.

Elfira Loy, Kochi, India, AirAsia

Artikel Lain