PETALING JAYA: Stesen radio Suria FM memberi peluang kepada pendengar untuk merebut wang tunai RM30,000 menerusi peraduan, Telinga Power Suria FM. Menurut Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin, peraduan tersebut berlangsung setiap Isnin hingga Jumaat bermula 7 April lalu sehingga 2 Mei depan. "Telinga Power Suria FM memerlukan pendengar meneka bunyi dan setiap bunyi itu bernilai RM500. "Segmen tersebut akan ke udara menerusi tiga segmen iaitu Ceria Pagi (5 pagi hingga 10 pagi), Ceria Petang (4 petang hingga 8 malam) dan Ceria Suria (10 pagi hingga 1 petang)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada mStar Online di sini pada Jumaat. Tambah Adiwati, pembayang bunyi akan disiarkan dari semasa ke semasa oleh penyampai Suria FM serta Facebook stesen radio itu di www.facebook.com/SuriaFMRadio. Sekiranya pendengar tidak berjaya meneka bunyi yang dimainkan, wang akan digandakan sebanyak RM500 sehinggalah bunyi tersebut berjaya diteka dengan betul.