Lisa, 28, berkata, dia mengalami perasaan takut sejak kecil dan sering terbawa-bawa perasaan itu ketika bersendirian.
“Saya bukan seorang yang suka dengar cerita hantu dan saya
tidak faham kenapa orang tengok cerita sebegitu?
“Sejak kecil lagi saya memang takut untuk menonton cerita
hantu kerana ia akan menggangu tidur saya,” ujarnya
ketika ditemui pada Majlis Pelancaran HBO Sentral Bahasa Malaysia, di Hotel Grand
Hyatt, di sini pada Isnin.
Lisa Surihani turut diumum sebagai hos pertama rancangan
yang memaparkan filem-filem terbaharu di pawagam dalam versi bahasa Malaysia.
Bagaimanapun, Lisa berkata, dia pernah menerima tawaran
berlakon filem genre tersebut berjudul Dendam Orang Mati.
“Selalunya saya memang tolak mentah-mentah filem genre
seram, namun ada satu filem berjudul Dendam Orang Mati yang saya terima kerana
watak saya dalam filem itu sangat mencabar.
“Ia cerita psiko tetapi lokasi penggambaran di tempat-tempat
yang memang menakutkan dan saya terpaksa meminta suami (Yusry Abdul Halim)
untuk menemani saya ketika di lokasi,” katanya.
Tambah Lisa, dia juga terkilan kerana disebabkan perasaan
takut itu juga dia tidak dapat memberikan sokongan kepada kawan-kawan baiknya
yang berlakon dalam filem-filem seram.
Dalam pada itu, Lisa yang mengacarakan program HBO Sentral
itu mengakui teruja dan berbesar hati kerana menjadi hos pertama rancangan
tersebut.
Dia akan memastikan cara penyampaian agar lebih
interaktif bagi menyalurkan maklumat tentang filem-filem terbaharu di pawagam.
“Saya seorang pelakon dan peminat filem, jadi saya berbangga
apabila Astro memilih saya untuk menjadi hos rancangan ini.
“Mereka mahu saya bawa rancangan ini mengikut cara saya
sendiri, namun apa yang sukar apabila saya terpaksa bercakap sendirian di skrin
hijau dengan hanya membayangkan apa yang keluar di televisyen,” ujarnya.
Episod pertama HBO Sentral akan bersiaran pada 27
April ini, pukul 7.15 malam di saluran HBO (saluran 411/431).