PETALING JAYA: Bekas gitaris kumpulan Kamikaze iaitu Sham tampil menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk menjawab tuduhan bersikap hipokrit biarpun sudah berhijrah seperti mana didakwa oleh bekas isterinya, Farazila Abdul Jabar dalam sebuah akhbar mingguan Ahad lalu. Sham atau nama sebenarnya, Shamril Mohd Salleh, 38, menerusi laman Facebook miliknya berkata, apa yang berlaku diantara dia dengan bekas isteri sudah menjadi sejarah dan tuduhan Farazila adalah hak peribadinya. "Apa yang berlaku di antara saya dan bekas isteri saya sudah menjadi sejarah hidup saya. Dan jika pihak beliau masih tidak berpuas hati, maka itu adalah hak beliau untuk menuduh saya dengan pelbagai cerita bagi meraih simpati orang ramai untuk kepentingan peribadi. "Saya tidak perlu untuk menjawab kepada sesiapa pun tentang perkara ini kerana saya dan beliau tidak mempunyai apa-apa ikatan lagi," katanya. Pendakwah bebas itu mengulas mengenai kenyataan Farazila yang membuat tuduhan secara terbuka terhadap Sham. Wanita itu turut menuduh bekas suaminya itu bersikap hipokrit selain menggambarkannya sebagai lupa diri apabila masyarakat sekeliling menyanjungnya. Dalam pada itu, Sham berkata, tindakan Farazila menjaja kisah rumah tangga mereka jelas bermotifkan dendam dan ingin memalukan dia kepada orang ramai. Malah kata Sham, sejak mereka bercerai dia tidak pernah memburuk-burukkan bekas isterinya itu kepada orang lain seperti mana dilakukan Farazila terhadapnya. Farazila mendakwa bekas suaminya bersikap hipokrit. "Saya tidak nampak apa jua alasan untuk menjaja kisah rumah tangga apatah lagi jika kenyataan media tersebut bermotifkan dendam dan memalukan saya di khalayak ramai. "Sebagaimana diketahui umum saya tidak pernah walau sekali pun membuat apa-apa kenyataan tentang dia (Farazila) apatah lagi mengaitkan dia dalam apa juga keadaan sebagaimana didakwa," jelasnya lagi. Bagaimanapun kata Sham, dia tetap mendoakan kebahagiaan untuk bekas isterinya itu dan berdoa agar wanita berkenaan terus tabah mengharungi kehidupannya selepas ini. "Saya doakan agar dia terus tabah mengharungi hidupnya dengan segala cara untuk bahagia, Insya-Allah," ujarnya. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor sebelum bercerai pada 1 September 2011. Sham ketika ini merupakan suami kepada Nurul Halimin Mohd Salleh, 34, yang juga kakak kepada penyanyi Maulana (AF). Mereka dikatakan telah berkahwin pada Januari 2012.